Pasar harian Simpang Renggam ditutup akibat Covid-19

Kenyataan yang dikeluarkan oleh MDSR berkaitan penutupan operasi pasar harian di bandar itu.
Kenyataan yang dikeluarkan oleh MDSR berkaitan penutupan operasi pasar harian di bandar itu.
A
A
A

KLUANG - Majlis Daerah Simpang Renggam (MDSR) mengarahkan semua operasi pasar harian di bandar itu dihentikan berkuat kuasa esok berikutan penularan koronavirus (Covid-19) kelmarin.

Yang Dipertua MDSR, Mohamad Sukry Abd Rahim berkata, arahan tersebut melibatkan pasar pagi, pasar malam dan pasar tani.

Jelasnya, tempoh penutupan sementara operasi bergantung kepada perkembangan dan tahap penularan wabak di kawasan berkenaan.

"Pasar harian yang ditutup ialah Pasar Kompleks Industri Kecil Sederhana (IKS) di Simpang Renggam, Pasar Bukit Keremoi (Machap) dan Pasar Jalan Puteri (Pekan Layang-Layang).

"Turut ditutup operasi ialah Pasar Jalan Lingkaran 3 (Taman Sri Lambak); Pasar Jalan Stesen (Renggam) dan semua pasar tani kelolaan Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) di Simpang Renggam," katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Katanya, semua peniaga dikehendaki memberhentikan sementara aktiviti jualan sehingga ke satu tarikh yang akan dimaklumkan kemudian.

Tegas beliau, pemilik lesen boleh dikenakan tindakan mengikut Akta Pencegahan dan Kawalan Penyakit Berjangkit 1988 dan Akta Polis 1967.

Menurutnya, arahan itu selaras dengan peruntukan kuasa kepada MDSR mengikut Seksyen 72(1)(f) Akta Kerajaan Tempatan 1976, Akta 171.

Artikel Berkaitan:

"Pemakluman dan arahan ini dikeluarkan dari masa ke masa dan akan dipinda tertakluk kepada arahan kerajaan negeri," katanya.