Suami isteri nyaris maut kereta dihempap pokok

Keadaan pokok rhu yang tumbang menghempap kereta dinaiki pasangan berkenaan di lokasi. - Foto ihsan pembaca
Keadaan pokok rhu yang tumbang menghempap kereta dinaiki pasangan berkenaan di lokasi. - Foto ihsan pembaca
A
A
A

KUALA TERENGGANU - Sepasang suami isteri nyaris maut selepas kereta dinaiki mereka dihempap pokok rhu dalam kejadian ribut di Jalan Sultan Mahmud berhampiran Jambatan Kuala Ibai, Chendering di sini malam tadi.

Dalam kejadian kira-kira jam 8.24 malam itu, kereta dipandu lelaki berusia 37 tahun bersama isterinya berusia 39 tahun yang duduk di bahagian penumpang hadapan dipercayai dalam perjalanan dari Marang ke Bandar Kuala Terengganu.

Bagaimanapun, sebaik tiba di lokasi kejadian, sebatang pokok rhu di tepi jalan tiba-tiba tumbang dan menghempap bahagian hadapan kereta jenis Proton Waja dinaiki mereka.

Akibat kejadian itu, mangsa dan isterinya mengalami kecederaan di bahagian muka dan beberapa anggota badan.

Sementara itu, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Kuala Terengganu, Timbalan Penguasa Bomba Rozizah Abni Hajar berkata, sebuah jentera bersama sembilan anggota bergegas ke lokasi kejadian sebaik menerima panggilan kecemasan pada jam 8.34 malam.

Katanya, kedua-dua mangsa berjaya keluar daripada kenderaan mereka dengan bantuan orang awam dan dihantar ke Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) di sini sebelum pihak bomba tiba di lokasi kejadian.

"Kejadian itu turut menghalang pergerakan lalu lintas kerana pokok berkenaan tumbang dan melintang di tengah jalan.

"Kami mengambil masa kira-kira 30 minit untuk kerja-kerja pembersihan pokok berkenaan," katanya ketika dihubungi Sinar Harian hari ini.

Artikel Berkaitan: