Norizam lunas gaji pasukan TRW hingga akhir musim

Kelantan antara pasukan mewarnai saingan Liga-M musim ini. - Foto TRW Kelantan FC
Kelantan antara pasukan mewarnai saingan Liga-M musim ini. - Foto TRW Kelantan FC
A
A
A

PEMILIK Kelantan FC, Norizam Tukiman telah melunaskan semua bayaran gaji kesemua barisan pemain dan pegawai pasukan itu sehingga akhir tahun ini.

Pengurus Operasi Team Red Warriors Sdn Bhd (TRW Sdn Bhd), Jamilulail Jamiludin berkata, turut dijelaskan ialah caruman Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dan Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) kepada pemain dan pegawai yang bersama pasukan ketika ini.

"Bayaran itu dibuat sejak Norizam mengambil alih Kelantan FC melalui langkah penswastaan yang telah ditetapkan oleh Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) dan Liga Bola Sepak Malaysia (MFL).

"Ia usaha pihak kami bagi memastikan kebajikan pemain Kelantan FC terbela dan secara tidak langsung membuktikan kesungguhan kami melalui pemilik Norizam bagi memastikan Kelantan FC bebas dari bebanan hutang yang sudah tentu akan memberi kesan negatif pada pasukan," katanya dalam satu kenyataan.

Sebelum ini media melaporkan Norizam telah memperuntukkan RM6.8 juta bagi menjelaskan semua hutang lapuk yang membelenggu The Red Warriors (TRW) sebelum ini termasuk gaji semasa pemain dan pegawai Kelantan FC.

Jamilulail berkata, kaedah itu dilakukan bagi meningkatkan motivasi pemain menjelang saingan TM Piala Malaysia nanti.

"Kami yakin pemain akan lebih memberikan tumpuan..tidak lagi perlu memikirkan soal masalah gaji yang sering menghantui mereka sebelum ini.

"Kami mahu Kelantan melangkah lebih jauh dalam saingan TM Piala Malaysia dengan pemain dapat memberikan persembahan terbaik," katanya.

Artikel Berkaitan: