Cities 4.0: Malaysia ke arah bandar lestari, kompetitif

Zuraida Kamaruddin
Zuraida Kamaruddin
A
A
A

KUALA LUMPUR - Malaysia ke arah menjadi Bandar Pintar dengan teknologi canggih untuk meningkatkan kualiti dan keselesaan hidup rakyat negara ini serta keselamatan dan kesihatan awam pada era Cities 4.0, kata Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Zuraida Kamaruddin.

Beliau berkata, teknologi canggih bersepadu merangkumi perkhidmatan bandar seperti ketersambungan 5G, ekonomi tanpa tunai, pengangkutan awam berautonomi, penghantaran dron, bangunan cekap tenaga, rawatan air dan pengurusan sisa yang pintar, sistem pengesanan dan penjejakan berorientasikan Internet benda (IoT).

“Penekanan ke arah menjadikan bandar Malaysia sebagai bandar pintar adalah satu daripada penekanan dalam Rancangan Malaysia ke-12, mempunyai bandar-bandar lestari dan sedia menghadapi bencana adalah penting kerana kita menuju ke arah Revolusi Industri 4.0.

“Tujuan saya adalah untuk menangani semua cabaran dalam melaksanakan inisiatif bandar pintar dengan menggunakan penyelesaian dan teknologi inovatif lagi praktikal serta membangunkan sistem yang tahan lasak dan efisien di bandar-bandar kita,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam ucaptama pada edisi ketiga Persidangan dan Pameran Cities 4.0 2020 secara maya yang dianjurkan bersama oleh Confexhub Group dan Kumpulan Industri-Kerajaan Bagi Teknologi Tinggi Malaysia (MIGHT) dari 12 hingga 15 Oktober.

“Walaupun Bandar Pintar adalah konsep yang telah wujud hampir 30 tahun, ia merupakan proses berterusan kerana pembangunan bandar pintar terus berubah dengan cabaran baharu dihadapi oleh kawasan perbandaran, manakala idea, teknologi dan penemuan baharu muncul dengan kerap,” katanya.

Ekosistem Bandar Pintar yang tepat akan menyokong daya saing ekonomi seperti dapat mengintegrasikan e-dagang ke dalam perniagaan, mewujudkan peluang dan pekerjaan digital, kesediaan digital dalam kalangan rakyat dan membangunkan model sosial yang mempromosikan perpaduan sosial bagi menggalakkan amalan persekitaran yang lestari.

Beliau berkata, cabaran baharu yang dihadapi bandar-bandar di seluruh dunia memerlukan penyelesaian baharu untuk setiap sektor termasuk perumahan, kesihatan, infrastruktur, pengangkutan, penggunaan tanah dan perkhidmatan berkualiti tinggi yang dapat meningkatkan ekonomi setelah krisis Covid-19 yang dihadapi dunia.

Artikel Berkaitan:

Bandar Pintar menangani pelbagai masalah seperti pengangkutan yang efisien, bangunan dan kediaman pintar, penggunaan tenaga optimum dan perkhidmatan pentadbiran yang lebih baik. - Bernama