X

Kindly register in order to view this article
!

Sabah catat kes Covid-19 hampir sekali ganda tinggi KL/Selangor

Seorang petugas mengangkat tilam untuk kegunaan pesakit Covid-19 yang stabil di Kompleks Sukan Sandakan yang akan dijadikan pusat rawatan berikutan peningkatan jumlah jangkitan di daerah tersebut. -Foto Bernama
A
A

SHAH ALAM - Sabah merekodkan jumlah hampir satu kali ganda jangkitan Covid-19 berbanding Kuala Lumpur dan Selangor berdasarkan data yang dikeluarkan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) semalam.

Negeri Di Bawah Bayu itu merekodkan jangkitan sebanyak 4,621 kes manakala Kuala Lumpur sebanyak 2,782 kes dan diikuti Selangor di tangga ketiga dengan 2,670 jangkitan.

Jumlah keseluruhan jangkitan setakat semalam adalah sebanyak 16,220 kes dan jumlah kes aktif dengan kebolehjangkitan Covid-19 adalah 5,039 kes.

Dua negeri lagi merekodkan jumlah jangkitan melebihi angka 1,000 iaitu Kedah dengan 1,679 jangkitan dan Negeri Sembilan dengan jumlah 1,081.




Di Sabah khususnya, jumlah jangkitan meningkat naik berpunca daripada Kluster Benteng Lahad Datu (LD) yang merekodkan sebanyak 992 kes setakat semalam.

Kluster Benteng LD melibatkan jangkitan dalam kalangan pendatang tanpa izin yang disaring di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Lahad Datu, Sabah pada pertengahan Ogos lalu.

Kluster itu kemudiannya dikesan di Penjara Tawau selepas seorang banduan iaitu kes 9,351 mempunyai sejarah dimasukkan ke IPD Lahad Datu bagi perbicaraan sebutan kes.

Jumlah penularannya diterukkan lagi selepas berakhirnya Pilihan Raya Negeri Sabah pada 26 September.

Sepanjang tempoh enam hari lalu, data KKM menunjukkan jumlah peningkatan iaitu bermula dengan 219 kes pada 6 Oktober dan diikuti 282 (7 Oktober), 271 (8 Oktober), 274 (9 Oktober), 277 (10 Oktober) dan kemuncaknya pada 11 Oktober dengan 488 kes.

Jumlah jangkitan di Sabah semalam bagaimanapun menurun kepada 291 kes melibatkan 28 kes daripada kluster-kluster sedia ada; empat kes daripada kluster baharu iaitu Kluster Kolong dan 259 kes daripada lain-lain saringan Covid-19.



Berdasarkan rekod yang dikeluarkan oleh Jabatan Kesihatan Negeri Sabah semalam, Daerah Tawau kekal merekodkan jangkitan tertinggi dengan jumlah 1,108 kes diikuti Semporna (913).

Penularan Covid-19 di kedua-dua daerah itu berkait rapat dengan Kluster Benteng LD dan beberapa kluster kecil lain khususnya di Semporna.

Kota Kinabalu pula merekodkan jumlah positif sebanyak 533 kes diikuti Lahad Datu (454), Kunak (177), Papar (122) dan Penampang (109).

Menteri Kanan (Kluster Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob semalam juga mengumumkan kerajaan melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) di seluruh Sabah sehingga 26 Oktober selepas mengambil kira kes peningkatan dan penularan yang berlaku.

Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) pula dilaksanakan di Felda Umas, Tawau sehingga 26 Oktober melibatkan 800 buah rumah dengan seramai 17,549 penduduk di kawasan tersebut.

Kerajaan turut melaksanakan PKPB di seluruh Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya bermula 14 Oktober hingga 27 Oktober depan.


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!