Menteri puji langkah FAM

Saingan Liga-M bakal mengharungi lembaran baharu apabila setiap pasukan kini berubah status daripada FA kepada FC mulai musim depan. -Foto Bernama
Saingan Liga-M bakal mengharungi lembaran baharu apabila setiap pasukan kini berubah status daripada FA kepada FC mulai musim depan. -Foto Bernama
A
A
A

MENTERI Belia dan Sukan, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican memuji langkah yang dilaksanakan Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) mewajibkan setiap pasukan melengkapkan proses penswastaan iaitu pemisahan daripada persatuan bola sepak (FA) kepada kelab bola sepak (FC).

Menurutnya, langkah tersebut akan memberikan dimensi baharu kepada setiap pasukan yang bersaing di pentas Liga Malaysia (Liga-M) terutamanya dalam menangani masalah pembayaran gaji pemain yang sering membelenggu arena bola sepak tempatan.

“Saya puji (FAM) kerana mereka telah melakukan transformasi FA kepada FC dan situasi itu akan mewujudkan ruang yang lebih bersifat tanggungjawab dan diuruskan secara profesional dalam setiap pasukan.

“Ia juga akan membawa perubahan kepada pentadbiran sesebuah pasukan terutamanya dalam melakukan perbelanjaan dan tidak bergantung kepada dana daripada negeri semata-mata.

“Apabila penswastaan ini berlaku, maka setiap pasukan perlu memiliki pengurusan kewangan yang betul dan tidak boleh sewenang-wenangnya berbelanja. Jika tiada duit, mereka tidak boleh berbelanja, sekali gus akan menyelesaikan masalah gaji dan sebagainya,” katanya dalam wawancara khas bersama Sinar Harian di pejabatnya di Putrajaya semalam.

Dalam masa sama, Reezal Merican turut melihat pasukan bola sepak di negara ini boleh menjana pendapatan apabila diswastakan melalui modal perniagaan tertentu.

Reezal Merican
Reezal Merican

“Ini disebabkan setiap pasukan bola sepak itu ada fan base yang besar yang menjadi pasaran utama. Fan base ini adalah aset yang membolehkan pasukan mendapatkan pendapatan melalui penjualan cenderahati, tiket dan sebagainya.“Penswastaan ini juga membuka ruang lebih ramai penaja untuk menaja pasukan, tetapi mereka kena menunjukkan bahawa kelab itu mempunyai tadbir urus yang baik dan berbaloi untuk ditaja,” ujarnya.

Artikel Berkaitan:

Dalam pada itu, beliau turut menasihatkan setiap pasukan supaya berusaha meningkatkan keupayaan masing-masing ke arah pengurusan yang lebih profesional dan efektif.

“Nasihat saya kepada setiap pasukan selepas penswastaan ini ialah mereka perlu lebih bertanggungjawab, buat perancangan kewangan yang lebih teratur dan berbelanja ikut kemampuan.“Bina FC ini daripada satu tahap ke satu tahap sehingga mempunyai nilai yang tinggi. Nilai yang tinggi itu bukan bergantung kepada ranking semata-mata. Antaranya seperti fan base, menjaga pemain dengan baik dan soal amalan baik (good governance and good practices),” jelasnya.