Wacana Al-Quran solusi terbaik rungkaikan masalah

Fazrul Ismail
Fazrul Ismail
A
A
A

SHAH ALAM - Wacana Al-Quran yang bakal menemui penonton pada 19 Oktober ini merupakan kesinambungan kempen My#QuranHour dan My#QuranTime.

Ketua Pegawai Penyelidik Yayasan Warisan Ummah Ikhlas (WUIF), Fazrul Ismail berkata, program bual bicara baharu itu dianjurkan bagi membantu masyarakat mencari solusi terbaik dalam setiap masalah yang dihadapi mereka berpandukan al-Quran.

“Wacana Al-Quran itu merupakan kesinambungan program My#QuranHour dan My#QuranTime yang kita anjurkan sebelum ini.

“Jika sebelum ini kita hanya mentadabbur ayat-ayat suci al-Quran, kini dalam Wacana Al-Quran kita akan mengupas setiap permasalahan yang dihadapi masyarakat berpandukan apa yang terdapat dalam ayat al-Quran.

“Idea menganjurkan Wacana Al-Quran terbit daripada jeritan hati rakyat yang berdepan dengan pelbagai masalah. Jadi kita mahu masyarakat sedar sebenarnya setiap masalah yang kita hadapi, sudah ada penyelesaiannya dalam al-Quran,” katanya kepada Sinar Harian di sini semalam.

Beliau berkata, program tersebut akan membincangkan apa sahaja isu ekonomi, kewangan, politik dan sebagainya.

“Kita akan membawakan ahli panel terdiri daripada agamawan, tokoh politik, ekonomi dan sosial untuk membincangkan isu berkaitan.

“Apa yang ada dalam al-Quran, kita bawa semua isu kepada satu penyelesaian melalui cara dan kaedah yang dipandu oleh al-Quran. Wacana itu merupakan satu platform untuk kita menemukan pelbagai pemegang taruh berkaitan dalam satu pentas untuk mencari solusi terbaik,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Program bual bicara Wacana Al-Quran yang mengupas pelbagai topik terkini berlandaskan al-Quran akan disiarkan secara langsung melalui Sinar Harian Online bermula 19 Oktober ini.
Program bual bicara Wacana Al-Quran yang mengupas pelbagai topik terkini berlandaskan al-Quran akan disiarkan secara langsung melalui Sinar Harian Online bermula 19 Oktober ini.

Lebih menarik lagi, kata Fazrul, Wacana Al-Quran akan turut diperdengarkan dengan bacaan ayat suci daripada kitab itu oleh qari terpilih.

“Setiap kali program, qari akan memperdengarkan ayat al-Quran yang bersesuaian dengan topik yang dibincangkan pada hari berkenaan.

“Ayat al-Quran memberi pencerahan kepada setiap isu atau masalah yang kita kupas bagi memberikan lebih pemahaman kepada para penonton,” katanya.

Katanya lagi, beliau yakin program Wacana Al-Quran akan memberi impak kepada masyarakat.

“Kita percaya penganjuran wacana ini sedikit sebanyak akan memberi pemahaman dan kebaikan kepada penonton. Kita mahu wujudkan satu ekosistem yang mana ALLAH sudah tunjuk dalam al-Quran.

“Kita amat berharap wacana tersebut mendapat sokongan daripada semua pihak. Semoga apa yang kita anjurkan mendapat manfaat bersama,” katanya.