KHM tangguh sementara saingan MIHL

KHM memutuskan untuk menunda Kejohanan Liga Hoki Dalam Dewan Malaysia (MIHL) 2020 ke satu tarikh baharu susulan penularan Covid-19 ketika ini. - Foto Twitter MHC
KHM memutuskan untuk menunda Kejohanan Liga Hoki Dalam Dewan Malaysia (MIHL) 2020 ke satu tarikh baharu susulan penularan Covid-19 ketika ini. - Foto Twitter MHC
A
A
A

KONFEDERASI Hoki Malaysia (KHM) memutuskan untuk menunda edisi sulung Kejohanan Liga Hoki Dalam Dewan Malaysia (MIHL) 2020 yang sepatutnya bermula 24 Oktober ini di Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), Tanjung Malim, Perak ke satu tarikh baharu.

Naib Presiden KHM, Shurizan Mansor dalam satu kenyataan berkata, badan induk itu mengambil keputusan sedemikian setelah mengambil kira saranan Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) serta nasihat daripada Kementerian Kesihatan Malaysia dan Majlis Keselamatan Negara susulan peningkatan kes Covid-19 ketika ini.

Shurizan yang merupakan Pengerusi Jawatankuasa Hoki Dalam Dewan dan Akademi Hoki Raja Ashman Shah berkata, keputusan berkenaan dicapai dalam mesyuarat jawatankuasa berkenaan yang diadakan secara dalam talian pada Sabtu lepas.

“UPSI dipilih sebagai venue kejohanan dan kami sedia maklum, institut pengajian tinggi (IPT) terikat dengan peraturan yang telah dikeluarkan oleh KPT, selain kami juga menghormati peraturan yang telah dikeluarkan termasuk larangan untuk mengadakan aktiviti secara bersemuka,” jelas Shurizan.

Beliau menegaskan keputusan untuk menangguhkan kejohanan berkenaan diambil setelah mengambil kira risiko penyebaran pandemik tersebut memandangkan Sabah yang kini mencatat kes Covid-19 tertinggi ketika ini, turut menyertai kejohanan itu.

Kejohanan selama lima minggu itu akan membuka tirai pada 24 Oktober dan akan berlangsung setiap hujung minggu, dengan aksi final dijadual pada 29 November depan.

Kejohanan itu telah menerima penyertaan daripada persatuan-persatuan hoki yang bernaung di bawah Konfederasi Hoki Malaysia (KHM) seperti Persatuan Hoki Negeri Perlis, Negeri Sembilan, Perak, Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Angkatan Tentera Malaysia (ATM).

KHM sebelum ini mengambil keputusan membatalkan penganjuran Kejohanan Liga Hoki Remaja Malaysia (MJHL) 2020 yang sepatutnya berlangsung dari 25 Mac hingga 19 April susulan penularan wabak Covid-19. - Bernama

Artikel Berkaitan: