Perkasa fungsi Rejimen Sempadan

No Image Caption
A
A
A

SEBUAH briged baharu Tentera Darat (TD) akan ditubuhkan di Sabah dalam masa terdekat sebagai perancangan strategik kerajaan untuk memperkasakan keselamatan negeri itu daripada ancaman luar.

Menteri Pertahanan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob semasa kunjungannya ke Sandakan pada September lalu berkata, Briged Infantri ke-32 (32 Bgd Inf) akan diwujudkan di Kalabakan bersama sebuah batalion Rejimen Sempadan (RS) di Tawau.

Penubuhan briged itu menerusi Rancangan Malaysia ke-12 dilihat tepat pada masanya bagi memperkasakan peranan TD mengawasi sempadan negara dalam Operasi (Op) Benteng yang diaktifkan oleh kerajaan sejak Mei lalu di bawah National Task Force (NTF).

32 Bgd Inf akan melengkapi kewujudan dua briged sedia ada iaitu 30 Bgd Inf di Semenanjung dan 31 Bgd Inf di Sarawak yang menaungi 10 buah batalion RS. RS merupakan Kor Infantri ketiga selepas Rejimen Askar Melayu Diraja (RAMD) dan Rejimen Renjer Diraja (RRD) yang ditubuhkan pada tahun 2008, jadi ia memikul peranan sebagai ketumbukan tempur yang cekap dan terlatih.

Rejimen tersebut diasaskan daripada penyusunan semula Batalion Infantri Siri 300 Askar Wataniah (Bn Inf Siri 300AW) yang mengawasi jajaran Lebuh Raya Timur Barat di Gerik dan kawalan sempadan di Kedah, Perlis serta Kelantan.

Penugasan batalion kerahan Askar Wataniah sejak tahun 1979 membolehkan pasukan-pasukan lain dalam TD memberi tumpuan kepada operasi memburu dan memerangi pengganas komunis di perbatasan pada masa itu.

Penubuhan RS diputuskan oleh kerajaan pada tahun 2007 setelah mengambil kira keperluan semasa untuk memantapkan pengawalan sempadan darat negara dan atas keperluan nasional di bawah Polisi Pengurusan Sempadan.

Selain itu, ia juga sejajar dengan pemikiran strategik kepimpinan TD pada masa itu yang mahukan sebuah rejimen khusus untuk melaksanakan operasi ketenteraan di sempadan Malaysia-Thailand bagi membolehkan lain-lain batalion infantri memberikan tumpuan terhadap peranan yang lebih spesifik.

Artikel Berkaitan:

Ketika ini, kawalan pagar sempadan oleh TD di Semenanjung membabitkan jajaran Bukit Kayu Hitam di Kedah sehingga Rantau Panjang di Kelantan melalui Op Pagar, Ops Kota dan Op Merpati Kelantan. Penugasan juga melibatkan pasukan selain RS dan Polis Diraja Malaysia (PDRM).

Tempur 31 Bgd Inf pula ditubuhkan pada 1 Julai 2015 bagi meningkatkan keupayaan tempur dan menjaga keselamatan sempadan Malaysia-Indonesia sepanjang 2,019 kilometer dari Sarawak sehingga Sabah.

Melihat kepada penugasan RS sejak ditubuhkan sehingga kini, maka adalah perlu bagi TD untuk memperkemaskan fungsi-fungsi yang boleh digandakan iaitu menjadi rejimen infantri pelbagai peranan.

Ancaman keselamatan yang dihadapi Malaysia ketika ini amat berbeza dengan ancaman yang dihadapi negara 50 tahun sebelum ini. Atas sebab itu, perancangan strategik perlu sentiasa diambil kira agar relevan dengan kehendak semasa. Tidak seperti dua rejimen infantri TD yang lain, RS tidak bercirikan sebagai sebuah batalion infantri standard yang dilengkapi dengan aset-aset senjata berat.

Sebenarnya, ia memberi kelebihan tersendiri kepada RS kerana ciri-ciri tersebut membolehkan ia bersifat lebih fleksibel tanpa menjejaskan fungsi sebagai pasukan tempur. Ciri-ciri menyamai konsep infantri ringan atau light infantry itu telah dipraktikkan tentera banyak negara seperti Jerman, Itali, India dan Amerika Syarikat.

Fungsi pelbagai peranan RS bakal memberi nilai strategik kepada TD sama seperti lain-lain batalion infantri khusus sedia ada termasuk melengkapi unit-unit RS dengan sistem dron bersaiz mini bagi mengukuhkan lagi operasi di sempadan.

Penggunaan dron bukanlah evolusi baharu, malah telah menjadi keperluan bagi mana-mana pasukan tentera pada hari ini. Menerusi pemerkasaan tersebut, RS menjadi lebih dinamik dan pada masa yang sama kekal dengan peranan utama mengawal perbatasan negara untuk menghalang pencerobohan dan mengekang jenayah rentas sempadan.

* Zaki Salleh ialah penganalisis pertahanan dan telah menulis dalam bidang ini sejak 20 tahun lalu