Lawrence mahu terus beraksi di Australia

Lawrence dan pemain serta jurulatih Universiti Western Australia meraikan kejayaan menjuarai Divisyen Kejuaraan FMG Fortescue Premier Grade RugbyWA.
Lawrence dan pemain serta jurulatih Universiti Western Australia meraikan kejayaan menjuarai Divisyen Kejuaraan FMG Fortescue Premier Grade RugbyWA.
A
A
A

PEMAIN ragbi negara, Lawrence Petrus berharap dapat terus berbakti dengan Universiti Western Australia selepas berjaya membantu kelab ragbi Australia itu meraih trofi Divisyen Kejuaraan dalam saingan Kejuaraan FMG Fortescue Premier Grade RugbyWA musim ini.

Menurut tonggak kebangsaan dari Tawau itu, dia gembira menjadi sebahagian daripada komuniti besar ragbi Universiti Western Australia apabila diberikan tanggungjawab mengalas cabaran dalam saingan musim ini.

“Sejujurnya saya amat gembira dapat membantu Universiti Western Australia merangkul Divisyen Kejuaraan biarpun kami sekadar mengakhiri saingan di kedudukan kelima liga utama.

“Biarpun masih terlalu awal untuk berkongsi perancangan seterusnya, namun impian saya seboleh-bolehnya ingin terus bersama Universiti Western Australia pada saingan musim depan.

“Universiti Western Australia pun sebelum ini ada menyatakan hasrat untuk menyambung kontrak saya, namun setakat ini masih belum diadakan perbincangan secara formal sebaliknya secara lisan,” kata pemain ragbi pertama negara yang beraksi di Australia.

Kelab berpangkalan di Perth itu sebelum ini mengakhiri saingan liga pada kedudukan ketujuh sebelum meneruskan saingan Divisyen Kejuaraan dengan gelaran juara selepas menjinakkan Joondalup 21 - 17 pada perlawanan akhir kelmarin

Mengulas lanjut kejayaan menjulang trofi Divisyen Kejuaraan, Lawrence menyifatkan kejayaan itu adalah hasil kerja keras dan komitmen padu setiap pemain serta sokongan barisan kejurulatihan dan pengurusan pasukan.

“Kejayaan pada perlawanan ini adalah petanda positif untuk skuad ragbi Universiti Western Australia. Saya yakin dengan semangat dan disiplin tinggi dalam kalangan pemain, Universiti Western Australia akan lebih garang pada musim depan,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Lawrence yang tampil buat pertama kali mencipta impak tersendiri apabila turut terpilih dalam kalangan 15 pemain terbaik mingguan sebanyak dua kali pada minggu ke-10 dan 13.