KKM hantar 11 lagi pakar perubatan ke Sabah

Seorang petugas mengangkat tilam untuk kegunaan pesakit Covid-19 yang stabil di Kompleks Sukan Sandakan yang akan dijadikan pusat rawatan berikutan peningkatan jumlah jangkitan di daerah tersebut hari ini.
 - Foto Bernama
Seorang petugas mengangkat tilam untuk kegunaan pesakit Covid-19 yang stabil di Kompleks Sukan Sandakan yang akan dijadikan pusat rawatan berikutan peningkatan jumlah jangkitan di daerah tersebut hari ini.
 - Foto Bernama
A
A
A

KUALA LUMPUR - Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) akan menghantar 11 lagi pakar perubatan untuk ditugaskan di hospital di Sabah, dalam masa terdekat ini.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, tiga daripadanya adalah pakar kesihatan dan lapan lagi pakar perubatan lain.

“KKM akan melihat kawasan yang tertentu dan mengikut keperluan, sebelum mengerakkan pertugas-petugas kami ke tempat yang memerlukan bantuan,” katanya pada sidang media secara maya yang disiarkan di Facebook KKM, hari ini.

Noor Hisham berkata, KKM turut menyeru lebih ramai sukarelawan perubatan dan kesihatan yang berkelulusan serta berkelayakan, tampil untuk membantu KKM dalam menangani gelombang ketiga Covid-19.

Katanya, koordinasi akan dijalankan oleh Pusat Tindakan Cepat Krisis Kebangsaan (CPRC) dan emelkan ke mobilisasi19@gmail.com atau cprc@moh.gov.my.

Dr Noor Hisham berkata, kementerian menambah dua lagi hospital iaitu di Kudat untuk merawat pesakit Covid-19.

“Setakat ini, kami (kementerian) ada lapan hospital telah dikenal pasti untuk merawat pesakit Covid-19 yang tahap kritikal, iaitu tahap tiga, empat dan lima.

“Kami (kementerian) juga ada 16 pusat kuarantin rawatan risiko rendah, untuk menempatkan kes-kes positif yang tidak ada gejala untuk tahap satu dan gejala ringan tahap dua,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Selain itu, Dr Noor Hisham berkata, KKM turut memberi kelulusan untuk pusat kesihatan negeri Sabah memperoleh stok peralatan pelindungan diri (PPE) bagi menampung keperluan yang mendesak. - Bernama