20,000 tiket online aksi Malaysia, Thailand habis dijual

20,000 tiket online aksi Malaysia, Thailand habis dijual
A
A

SEBANYAK 20,000 keping tiket aksi separuh akhir pertama Piala AFF Suzuki 2018 antara Malaysia bertemu Thailand di Stadium Nasional Bukit Jalil, 1 Disember ini dijual pada hari pertama penjualannya secara dalam talian.

Menurut kenyataan terbaru di Facebook rasmi Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), penjualan yang bermula pagi tadi telah mendapat sambutan cukup hangat sehingga ia terpaksa dihentikan sebentar tadi selepas mencecah jumlah 20,000 keping tiket.

“Peruntukan bagi penjualan tiket secara online (dalam talian) adalah sebanyak 40,000 keping tiket sahaja, sekali gus baki lagi 20,000 keping tiket akan disambung penjualannya di www.tickethotline.com.my bermula 9 pagi esok,” kata kenyataan itu.

FAM tidak dapat menjual terus kesemua 80,000 keping tiket menerusi sistem dalam talian kerana untuk memberi peluang kepada para penyokong yang tidak dapat membuat pembelian secara dalam talian supaya mereka boleh membeli tiket secara fizikal di kaunter tiket di Stadium Nasional dan juga di outlet terpilih Al-Ikhsan Sports.

“Baki 40,000 keping tiket lagi akan dijual secara fizikal bermula Khamis ini di kaunter tiket di Stadium Nasional iaitu sebanyak 30,000 keping tiket dan outlet terpilih Al-Ikhsan Sports sebanyak 10,000 keping tiket sehingga ia habis terjual.

Bagaimanapun, menurut FAM, waktu sebenar penjualan tiket secara fizikal di kaunter tiket di Stadium Nasional dan outlet terpilih Al-Ikhsan Sports akan dimaklumkan kemudian kerana ia bergantung jika tiada kelewatan untuk tiket-tiket berkenaan tiba dari Bangkok, Thailand, yang dijangka pada Rabu ini.

Tiada kaunter khas akan dibuka di Wisma FAM, Kelana Jaya atas faktor jangkaan kesesakan di kawasan berkenaan yang terletak berdekatan kawasan perumahan.

Tiket separuh akhir pertama Piala AFF Suzuki dijual pada harga RM40 untuk tempat duduk Grandstand (berbumbung), RM30 untuk tempat duduk terbuka dan RM5 untuk kanak-kanak. - Bernama