PM beri jaminan bantu Sabah tangani Covid-19

Masidi Manjun
Masidi Manjun
A
A
A

KOTA KINABALU - Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin memberi jaminan bahawa kerajaan Persekutuan melalui Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) akan membantu Sabah sepenuhnya dalam usaha menangani pandemik koronavirus (Covid-19).

Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan, Datuk Seri Masidi Manjun berkata, komitmen itu disampaikan Muhyiddin pada mesyuarat secara sidang video (video conference) yang diadakan hari ini.

"Kerajaan negeri merakamkan setinggi penghargaan kepada Perdana Menteri yang telah memberi perakuan bahawa kerajaan Persekutuan melalui KKM akan membantu Sabah sepenuhnya dalam usaha menangani pandemik Covid-19 di Sabah.

"Dalam mesyuarat yang turut disertai saya, Perdana Menteri telah meminta KKM mengoptimakan penggunaan semua sumber manusia dan aset yang ada untuk membantu Jabatan Kesihatan Negeri Sabah (JKNS)," katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Masidi yang juga Menteri Kewangan II berkata, hari ini kerajaan Persekutuan bersetuju untuk melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) di seluruh Sabah selama 14 hari bermula jam 12.01 tengah malam ini hingga 26 Oktober untuk membendung penularan jangkitan dan memutuskan rantaian Covid-19.

"Satu lagi lokaliti iaitu Felda Umas di Tawau akan dilaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) selama 14 hari bermula tengah malam ini hingga 26 Oktober dan ini menjadikan sebanyak tujuh lokaliti sedang melaksanakan PKPD," katanya.

ARTIKEL BERKAITAN: PKPB di seluruh Sabah bermula tengah malam ini

Beliau berkata, sehingga hari ini kerajaan negeri juga telah mengagihkan sebanyak 9,409 bakul makanan kepada penduduk yang terkesan di daerah yang terlibat dengan PKPD.

"Ini termasuk di Lahad Datu sebanyak 2,183, Semporna (3,673), Kunak (1,053), Tawau (2,000) dan Sandakan sebanyak 500 bakul makanan diagihkan.

"Sasaran pengagihan bakul makanan adalah kepada ketua isi rumah bagi lokaliti yang diisytiharkan sebagai PKPD dan ketua isi rumah yang diperintahkan untuk menjalani kuarantin di rumah oleh KKM," katanya.

Artikel Berkaitan:

Terdahulu, Masidi berkata, JKNS hari ini melaporkan sebanyak 291 kes baharu Covid-19 di Sabah sekali gus menjadikan jumlah kumulatif adalah sebanyak 4,621 kes.

"Seramai 2,688 pesakit sedang menerima rawatan di hospital seluruh Sabah dan seramai 1,898 pesakit dilaporkan telah sembuh dan dibenarkan keluar hospital.

"Hari ini mencatatkan dua kematian yang menjadikan jumlah kematian di negeri ini adalah 35 orang," katanya.

ARTIKEL BERKAITAN: Sabah penyumbang jumlah tertinggi kes positif Covid-19