Sistem penggiliran, WFH bagi penjawat awam dilaksana semula

Mohd Zuki Ali
Mohd Zuki Ali
A
A
A

SHAH ALAM – Sistem penggiliran dan bekerja dari rumah (WFH) bagi penjawat awam dilaksanakan semula sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan Bersayarat (PKPB) di seluruh Selangor, Wilayah Persekutuan dan Putrajaya pada 14 hingga 27 Oktober ini.

Ketua Setiausaha Negara, Datuk Seri Mohd Zuki Ali berkata, semua perkhidmatan kerajaan beroperasi sepenuhnya sepanjang tempoh PKPB.

“Sepanjang tempoh PKPB ini, semua perkhidmatan kerajaan tetap beroperasi dengan penjawat awam mengadaptasi sistem penggiliran dan bekerja dari rumah (BDR) mengikut keperluan dengan mengambil kira kebajikan mereka.

“Setiap Ketua Jabatan dikehendaki untuk mematuhi Surat Edaran Jabatan Perkhidmatan Awam Rujukan JPA.SARAAN(S)256/6/31JLD.6(6) bertarikh 2 Mei 2020.

"Pelaksanaan ini turut diguna pakai bagi mana-mana kawasan yang diisytiharkan PKPB,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Menurutnya, penggunaan aplikasi atas talian perlu diberi keutamaan bagi meminimumkan perkhidmatan secara bersemuka seperti perkhidmatan kaunter dan mesyuarat selari dengan amalan penjarakan fizikal.

“Dalam hal ini, Majlis Keselamatan Negara (MKN) akan mengeluarkan SOP secara terperinci dalam masa terdekat.

“Ketua jabatan juga hendaklah menggunakan kebijaksanaan dan pertimbangan sewajarnya dalam perkara ini di samping memastikan semua SOP keselamatan dan kesihatan dipatuhi sepenuhnya seperti melaksanakan saringan suhu badan, mengamalkan penjarakan fizikal, memakai pelitup muka dan menyediakan cecair pembasmi kuman,” katanya.

Artikel Berkaitan: