Cadang PKPD di kuarters, Penjara Reman Pulau Pinang

Kerajaan negeri Pulau Pinang mencadangan agar PKPD dilaksanakan di Penjara Reman Pulau Pinang.
Kerajaan negeri Pulau Pinang mencadangan agar PKPD dilaksanakan di Penjara Reman Pulau Pinang.
A
A
A

GEORGETOWN - Kerajaan negeri melalui Majlis Keselamatan Negara (MKN) Pulau Pinang mencadangkan kepada kerajaan Pusat agar melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) di Penjara Reman Pulau Pinang dan kuarters Jabatan Penjara Pulau Pinang.

Cadangan tersebut disuarakan susulan peningkatan kes pandemik koronavirus (Covid-19) mencatatkan sehingga 141 kes aktif baharu di penjara tersebut.

Ia menjadikan jumlah keseluruhan kes positif Covid-19 di penjara itu sebanyak 160 kes.

Sehingga semalam, sejumlah 19 kes positif membabitkan Kluster Penjara Reman termasuk banduan warga emas yang meninggal dunia pada 5 Oktober lalu.

Ketua Menteri, Chow Kon Yeow berkata, kesemua kes aktif tersebut hanya melibatkan banduan sahaja dan tidak melibatkan petugas, pegawai atau ahli keluarga mereka.

"Berlandaskan makluman semasa diterima daripada Jabatan Kesihatan Negeri Pulau Pinang (JKNPP), MKN Pulau Pinang, Jabatan Penjara Pulau Pinang serta pihak-pihak berkaitan, Mesyuarat Jawatankuasa Khas Keselamatan Pulau Pinang (JKKNPP) Covid-19 mengambil beberapa ketetapan antaranya cadangan melaksanakan PKPD di penjara dan kuarters penjara.

"Selain itu, kita mencadangkan agar menjadikan penilaian risiko JKNPP sebagai panduan untuk keputusan dan tindakan selanjutnya pada peringkat kerajaan negeri," katanya pada sidang akhbar di Kompleks Tun Abdul Razak (Komtar) di sini hari ini.

Kon Yeow berkata, antara cadangan lain adalah menggerakkan kepelbagaian platform di peringkat daerah sebagai penyelarasan gerak kerja agensi di lapangan terutama melibatkan aspek keperluan logistik, keselamatan dan bantuan lain secara menyeluruh.

Artikel Berkaitan:

Jelas Kon Yeow, kesemua banduan di Penjara Reman Pulau Pinang telah menjalani saringan termasuk kakitangan Jabatan Penjara Pulau Pinang.

"Saringan kedua dijalankan bermula pada hari ini. Sehingga kini, kelengkapan keselamatan kesihatan seperti kelengkapan perlindungan diri (PPE) bagi barisan hadapan (frontliners) adalah mencukupi.

ARTIKEL BERKAITAN: Covid-19: 563 kes baharu, dua kematian

"Oleh itu, saya berharap seluruh rakyat Pulau Pinang terus bertenang dan berdoa untuk bersama-sama kerajaan negeri dalam menghadapi cabaran ini," katanya.

Terdahulu, Penjara Reman Pulau Pinang dalam kenyataannya tadi berkata, pihaknya menguatkuasakan langkah-langkah pencegahan Covid-19 menerusi PKPD secara pentadbiran berkuat kuasa hari ini sehingga tarikh yang akan diberitahu kelak.

PKPD itu dilaksanakan secara pentadbiran dalaman sahaja dalam usaha mengawal penularan dalam penjara.

Sementara itu, Pengarah JKNPP, Dr Asmayani Khalib berkata, hanya tiga daripada banduan yang disahkan positif dirawat di Hospital Pulau Pinang (HPP), manakala bakinya ditempatkan di dua bangunan khas di Penjara Reman Pulau Pinang.

Menurutnya, pihaknya bersama pihak penjara telah mengenalpasti dua bangunan di penjara itu untuk dijadikan pusat Covid berisiko rendah.

"Kita telah membekalkan beberapa pegawai untuk membantu petugas penjara dalam mengawasi pesakit yang ditempatkan di dua bangunan tersebut.

"Untuk waktu ini, kita menggunakan kakitangan HPP namun dalam masa, kita mengarahkan hospital dan klinik kesihatan lain untuk turut membantu," katanya.