'Parti gabungan PN sokong Muhyiddin'

Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin - Foto Bernama
Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin - Foto Bernama
A
A
A

SHAH ALAM - Parti politik di bawah gabungan pemerintahan kerajaan Perikatan Nasional (PN) didakwa telah mengumumkan sokongan mereka terhadap Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Berdasarkan sumber seperti dilaporkan The STAR hari ini, Pengerusi Barisan Nasional (BN) yang juga merupakan Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi mengadakan perbincangan dengan Muhyiddin mengenai perkara itu.

Perbincangan itu didakwa berlaku pada Jumaat lalu dan Ahmad Zahid didakwa telah meyakinkan Muhyiddin bahawa semua ahli Parlimen daripada BN dan UMNO akan menyokong beliau.

"Perbincangan antara Ahmad Zahid dan Muhyiddin berakhir dengan nada damai," menurut sumber itu yang enggan membocorkan sama ada kedua-duanya mengadakan pertemuan fizikal atau maya.

Dilaporkan bahawa Muhyiddin ketika ini sedang menjalani kuarantin kendiri di rumah seperti yang diarahkan oleh Kementerian Kesihatan.

Pada 8 Oktober lalu, Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim mendakwa bahawa beliau mendapat perkenan menghadap Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah esok.

Anwar dilaporkan turut menyatakan bahawa tujuan menghadap Seri Paduka adalah bagi menyampaikan pernyataan berkanun (SD) daripada ahli Parlimen yang memberikan sokongan kepada beliau.

Bagaimanapun, Setiausaha Agung Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) yang juga Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hamzah Zainuddin mengatakan bahawa dakwaan Anwar itu tidak berasas.

Artikel Berkaitan:

Sementara itu, Setiausaha Agung BN, Tan Sri Annuar Musa pula berkata, kesemua 43 ahli Parlimen BN akan menyokong PN dan Muhyiddin secara keseluruhan.

Annuar dalam catatannya di Facebook sebelum ini juga mengatakan bahawa BN telah memutuskan bahawa tidak ada DAP, tidak ada Anwar dan tidak ada Tun Dr Mahathir Mohamad.

Selain itu, Setiausaha Agung Pas, Datuk Takiyuddin Hassan dalam kenyataan rasmi bagi mewakili parti itu berkata, kesemua 18 ahli Parlimen parti itu tetap menyokong Muhyiddin.