Sabah penyumbang jumlah tertinggi kes positif Covid-19

Dr Noor Hisham Abdullah
Dr Noor Hisham Abdullah
A
A
A

PUTRAJAYA - Sabah menyumbang jumlah kes positif pandemik koronavirus (Covid-19) tertinggi secara keseluruhan pada hari ini iaitu sebanyak 291 kes (51.7 peratus).

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, ia susulan aktiviti saringan yang dijalankan secara berterusan terutama di pelbagai daerah yang terlibat dengan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) dan PKPD secara pentadbiran.

"Sabah juga mencatatkan kes kematian beberapa hari kebelakangan ini.

"Bagi menangani isu peningkatan kes Covid-19 dan kes kematian disebabkan oleh virus itu di Sabah, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dengan kerjasama agensi lain telah menambah kapasiti katil di hospital-hospital setempat iaitu sebanyak 978 katil hospital dan 4,010 katil di Pusat Kuarantin dan Rawatan Berisiko Rendah (kadar penggunaan katil adalah 32 peratus) sehingga ke hari ini.

"Selain itu, KKM turut membina hospital medan bersama Angkatan Tentera Malaysia di Semporna, mempergiatkan pengesanan kontak rapat, mengasingkan kes positif Covid-19, memberi rawatan awal dan menambah jumlah ventilator dan pakar bius di Unit Rawatan Rapi (ICU)," katanya pada sidang akhbar perkembangan terkini Covid-19 di Malaysia di sini hari ini.

Kata beliau lagi, susulan perluasan saringan Covid-19 di Sabah, terdapat peningkatan beban makmal bagi pemprosesan sampel ujian saringan.

"Oleh yang demikian, KKM telah menambah kapasiti makmal di seluruh Sabah, selain bekerjasama dengan makmal swasta dan membawa sebanyak 2,223 sampel yang berlebihan ke makmal di Semenanjung Malaysia untuk diproses," katanya.

ARTIKEL BERKAITAN: Covid-19: 563 kes baharu, dua kematian

Artikel Berkaitan:

Beliau turut memaklumkan, stok Personal Protective Equipment (PPE) di Sabah dalam kesiapsiagaan yang mampan seperti yang telah dirancang oleh agensi pusat, KKM dan juga Jabatan Kesihatan Negeri Sabah.

"KKM akan memastikan agihan kepada pihak yang memerlukan dilakukan secepat yang mungkin," katanya.

Jelasnya, terdapat petugas kesihatan yang telah dijangkiti Covid-19 di Sabah yang perlu dikuarantin.

"Untuk itu, KKM telah menggerakkan petugas kesihatan secara dalaman dan dari negeri-negeri lain ke Sabah bagi menangani isu kekurangan petugas kesihatan di hospital setempat.

"Selain itu, KKM juga menyeru penglibatan badan-badan bukan kerajaan untuk tampil menghulurkan bantuan ke Sabah bagi membendung penularan Covid-19 di negeri ini," katanya.