X

Kindly register in order to view this article
!

Bomba Johor sedia bekukan cuti 1,398 anggota

Yahaya (dua dari kiri) menyampaikan hadiah kepada pasukan yang menyertai pertandingan inovasi pada Majlis Perhimpunan Bulanan Jabatan Bomba dan Penyelamat Johor.
A
A

JOHOR BAHRU - Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Johor sedia membekukan cuti 1,398 anggota bagi keperluan mendesak terutama melibatkan bencana alam berikutan peralihan monsun yang dijangka berakhir Mac tahun depan.

Pengarahnya, Datuk Yahaya Madis berkata, langkah awal itu antara usaha berdepan dengan pelbagai kemungkinan seperti banjir dan tanah runtuh.

Menurutnya, pihaknya turut melakukan persiapan logistik termasuk peralatan menyelamat di air membabitkan 50 buah bot dan jaket keselamatan yang kini dalam keadaan baik dan mencukupi.

"Setiap kali monsun timur laut, JBPM Johor akan tingkatkan kesiapsiagaan.

"Kita sentiasa bersedia 24 jam berdepan dengan sebarang kemungkinan dan patuh kepada prosedur operasi standard (SOP) Covid-19," katanya pada Majlis Perhimpunan Bulanan di Ibu Pejabat JBPM Johor di sini hari ini.

Menurut Yahaya, sekiranya berlaku bencana alam di luar jangka yang memerlukan banyak bantuan, pihaknya akan menggerakkan keperluan aset dari balai bomba berdekatan termasuk menggunakan helikopter bagi kerja-kerja menyelamat.

"Bagi mereka yang tinggal di kawasan berisiko tinggi dilanda banjir, mereka perlu bersedia untuk berpindah jika diarahkan.

"Orang ramai juga dinasihatkan berhati-hati ketika melakukan aktiviti luar terutama di kawasan berdekatan sungai dan laut bagi mengelakkan kejadian tidak diingini berlaku,” katanya.

Sementara itu beliau berkata, pihaknya turut merekodkan peningkatan jumlah panggilan berhubung sanitasi awam sejak minggu lepas dengan sekurang-kurangnya lima panggilan sehari diterima daripada orang awam.

Beliau berkata, sebuah taman perumahan di Masai turut disanitasi semalam susulan penutupan sementara Pasar Muafakat [email protected] dan Pasar Awam Masak sebagai langkah membendung penularan Covid-19.

"Sebagai 'frontliners', kita sentiasa bersedia membantu. Orang awam boleh menghubungi bomba jika memerlukan khidmat sanitasi serta bantuan sewajarnya.

"Kita akan bekerjasama dengan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) sebelum melakukan penyemburan sanitasi di tempat awam yang dikunjungi individu disyaki," katanya.

Yahaya berkata, bagi kerja-kerja sanitasi di tempat awam pula, ia bergantung kepada keperluan dan risiko kawasan terbabit jika terdapat individu bergejala Covid-19.

Dalam perkembangan lain katanya, sebanyak tujuh daripada 18 premis tidak mempunyai sijil perakuan bomba (FC) telah didakwa di mahkamah tahun lepas melibatkan nilai keseluruhan denda sebanyak RM17,500 membabitkan kilang, gudang dan hotel yang jika sabit kesalahan boleh didenda sehingga RM50,000.


Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!