PKPB: Operasi KDEBWM berjalan seperti biasa

KDEBWM menjalankan pembersihan dan pengurusan sisa pepejal di Selangor seperti biasa mengikut jadual kutipan yang telah ditetapkan.
KDEBWM menjalankan pembersihan dan pengurusan sisa pepejal di Selangor seperti biasa mengikut jadual kutipan yang telah ditetapkan.
A
A
A

SHAH ALAM - KDEB Waste Management (KDEBWM) akan menjalankan pembersihan dan pengurusan sisa pepejal di Selangor seperti biasa mengikut jadual kutipan yang ditetapkan.

Pengarah Urusan KDEB Waste Management, Ramli Mohd Tahir berkata, kutipan dijalankan seperti biasa dan pada masa sama mengambil langkah-langkah yang disyorkan ekoran pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) yang berkuat kuasa pada 14 Oktober ini.

"Antaranya, para pekerja subkontraktor termasuk pemandu lori kompaktor serta Roro, kru kutipan, penyelia hendaklah memakai peralatan perlindungan diri (PPE) dan menggunakannya semasa menjalankan tugasan.

"Mereka dinasihatkan kerap mencuci tangan dan menggunakan 'hand sanitizer' serta sentiasa menjaga kebersihan," katanya menerusi kenyataan hari ini.

Ramli berkata, warga kerja, pemandu dan kru subkontraktaktor kutipan sampah dinasihatkan untuk mengurangkan kontak dengan orang awam.

"Untuk tujuan tersebut, semua warga kerja dan kru subkontraktor digalakkan membawa sendiri makanan ke pejabat atau tempat kerja.

"Mereka juga dinasihatkan untuk tidak terlalu lama di premis awam tanpa tujuan sebaliknya menumpukan perjalanan dari lokasi rumah ke tempat kerja dan pejabat kerajaan yang berkaitan dengan operasi kerja sahaja," katanya.

Jelasnya, kesemua warga kerja dan kru subkontraktor hendaklah pada setiap masa menjaga kebersihan dan membuat kawalan daripada jangkitan.

Artikel Berkaitan:

"KDEBWM menyeru kepada semua pihak dan orang awam supaya mengurus sampah domestik dan pukal dengan baik.

"Pelitup muka, botol-botol 'hand sanitizer' hendaklah dibuang dengan cara yang betul dan tidak dibuang merata-merata," katanya.

Terdahulu, kerajaan Persekutuan mengenakan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) di seluruh Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya berkuat kuasa 12.01 tengah malam 14 hingga 27 Oktober 2020.

ARTIKEL BERKAITAN: PKPB dilaksana di seluruh Selangor, Kuala Lumpur, Putrajaya