Kereta hilang kawalan rempuh kedai serbaneka

Keadaan sebuah kedai serbaneka yang dirempuh sebuah kereta berhampiran Jalan Abdullah Tahir.
Keadaan sebuah kedai serbaneka yang dirempuh sebuah kereta berhampiran Jalan Abdullah Tahir.
A
A
A

JOHOR BAHRU - Sebuah kereta dipercayai hilang kawalan lalu melanggar sebuah kedai serbaneka 24 jam di Jalan Abdullah Tahir di sini awal pagi tadi.

Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan, Asisten Komisioner Mohd Padzli Mohd Zain berkata, kejadian tersebut berlaku kira-kira jam 3.40 pagi.

Menurutnya, pemandu kereta Toyota Vios berusia 25 tahun itu dipercayai dalam perjalanan dari Jalan Abdullah Tahir menghala ke Jalan Tebrau.

"Hasil siasatan awal mendapati, kemalangan dipercayai berlaku apabila kereta dipandu lelaki itu telah hilang kawalan lalu terbabas dan melanggar sebuah kedai serbaneka yang beroperasi 24 jam yang berada di sebelah kiri jalan.

"Akibat daripada kemalangan tersebut, pemandu Toyota Vios telah mengalami kecederaan parah dan masih menerima rawatan di Wad Unit Penjagaan Rapi (ICU), Hospital Sultanah Aminah (HSA) di sini," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Mohd Padzli berkata, semasa kejadian, hanya seorang pekerja berada di kedai tersebut dan tidak mengalami kecederaan, manakala kedai serbaneka terbabit mengalami kerosakan teruk.

"Siasatan masih dijalankan terhadap lelaki tersebut sama ada dia memandu di bawah pengaruh alkohol ataupun tidak.

"Siasatan lanjut masih diteruskan dan kes disiasat mengikut Seksyen 43(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987 kerana memandu dengan tidak cermat di peringkat awal," katanya.

Artikel Berkaitan: