X

Kindly register in order to view this article
!

'Zahid tahu cek Yayasan Akalbudi bayar kad kreditnya' - saksi

Ahmad Zahid hadir pada prosiding perbicaraan kes rasuah, pecah amanah dan pengubahan wang haram yang dihadapinya di Mahkamah Tinggi hari ini.- FOTO: BERNAMA
A
A

KUALA LUMPUR - Bekas Setiausaha Eksekutif kepada Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi memberitahu Mahkamah Tinggi di sini hari ini bahawa bekas majikannya tahu beliau menggunakan cek Yayasan Akalbudi bagi pembayaran kad kredit bekas Timbalan Perdana Menteri itu.

Mejar Mazlina Mazlan @ Ramly berkata, Ahmad Zahid mengetahui mengenai perkara tersebut kerana Presiden UMNO itu yang memberikan kebenaran.

“Datuk Seri Zahid juga tidak pernah menarik balik arahan (guna cek Yayasan Akalbudi bayar kad kredit) tersebut.

“Setiap kali saya ajukan (kepada Ahmad Zahid) cek (Yayasan Akalbudi) saya akan beri sekali penyata pembayaran,” katanya ketika menjawab soalan Timbalan Pendakwa Raya Datuk Raja Rozela Raja Toran semasa pemeriksaan semula yang merujuk jawapan Mazlina ketika ditanya pembelaan bahawa beliau menyorok penyata kad kredit dan bank daripada Ahmad Zahid.

Beliau berkata demikian pada hari ke-43 perbicaraan kes Ahmad Zahid yang menghadapi pertuduhan rasuah, salah guna kuasa dan pengubahan wang haram melibatkan jutaan ringgit daripada dana Yayasan Akalbudi.

Ketika ditanya Raja Rozela, ada atau tidak lain-lain dokumen yang ditunjukkan kepada Ahmad Zahid atau disemaknya, saksi menjawab “ada, buku cek Maybank Yayasan Akalbudi”.

Saksi pendakwaan ke-90 itu juga berkata, Ahmad Zahid tidak pernah menyatakan apa-apa semasa menyemak baki cek pada buku cek Maybank Yayasan Akalbudi tersebut.

Ketika ditanya Timbalan Pendakwa Raya Lee Keng Fatt mengenai purata jumlah wang yang terdapat di dalam akaun Yayasan Akalbudi antara Jun 2016 sehingga beliau (Mazlina) tidak lagi berkhidmat sebagai Setiausaha Eksekutif pada 2018, Mazlina menjawab “anggaran sebulan dalam ratusan ribu ke juta.”

Lee: Ada tunjuk penyata bank kepada Datuk Seri Zahid?

Mazlina: Ada

Lee: Berapa kerap?

Mazlina: Datuk Seri Zahid akan buat ‘spot check’ (pemeriksaan mengejut) dalam setahun satu atau dua kali.

Ahmad Zahid berdepan 47 pertuduhan dengan 12 daripadanya membabitkan pecah amanah, lapan rasuah dan 27 pengubahan wang haram melibatkan puluhan juta ringgit dana milik Yayasan Akalbudi.

Perbicaraan di hadapan Hakim Collin Lawrence Sequerah bersambung esok. - Bernama


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!