PKPB di seluruh Sabah bermula tengah malam ini

Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) akan dilaksanakan di seluruh Sabah berkuat kuasa jam 12.01 tengah malam ini sehingga 26 Oktober. - Foto Bernama
Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) akan dilaksanakan di seluruh Sabah berkuat kuasa jam 12.01 tengah malam ini sehingga 26 Oktober. - Foto Bernama
A
A
A

KUALA LUMPUR - [DIKEMASKINI] Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) akan dilaksanakan di seluruh Sabah berkuat kuasa jam 12.01 tengah malam ini sehingga 26 Oktober.

Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, keputusan itu dibuat selepas mendapat nasihat Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan mengambil kira peningkatan kes serta penularan yang berlaku di negeri itu.

“Dengan pelaksanaan PKPB ini, semua penduduk dikehendaki mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan. Antaranya, semua penduduk di kawasan terlibat tidak dibenarkan keluar dari rumah masing-masing.

“Bagaimanapun bagi pekerja yang perlu merentas daerah, mereka perlu menunjukkan pas kerja atau surat kebenaran daripada majikan,” katanya pada sidang akhbar secara maya dari kediamannya menerusi Facebook Kementerian Pertahanan hari ini.

Dalam tempoh itu, Ismail Sabri berkata, hanya dua orang dari sebuah rumah dibenarkan keluar untuk membeli barangan keperluan harian termasuk makanan.

Sementara itu, Ismail Sabri berkata, semua sekolah, institusi pengajian tinggi, institut latihan kemahiran, tadika, taska, pusat tahfiz, taman-taman awam dan pusat rekreasi hendaklah ditutup.

Malah masjid, surau serta rumah ibadat bukan Islam lain juga ditutup kepada orang ramai, selain semua aktiviti sukan, rekreasi, sosial dan budaya termasuk majlis perkahwinan tidak dibenarkan.

“Kegiatan sektor ekonomi, industri dan perniagaan dibenarkan beroperasi seperti biasa namun perlu mematuhi SOP ketat yang telah dan akan dikeluarkan oleh Majlis Keselamatan Negara (MKN).

Artikel Berkaitan:

“Bagi pasar borong, pasar harian hanya boleh beroperasi dari 6 pagi hingga 2 petang, kedai barang keperluan, kedai runcit, restoran, kedai-kedai makan, warung-warung, kedai runcit dan serbaneka (6 pagi - 6 petang) dan terhad untuk pembelian secara pandu lalu, penghantaran serta take away,” katanya.

Stesen minyak juga dibenarkan beroperasi pada waktu terhad dari 6 pagi hingga 6 petang.

Menurut Ismail Sabri, klinik dan hospital kerajaan dibenarkan beroperasi 24 jam, bagaimanapun operasi farmasi dan kedai ubat-ubatan terhad dari 6 pagi hingga 6 petang.

Mengenai perkhidmatan teksi atau e-hailing dan penghantaran makanan, Ismail Sabri berkata, perkhidmatan itu dibenarkan beroperasi dari 6 pagi hingga 8 malam, manakala bas ekspres dan bas henti-henti tidak dibenarkan beroperasi.

Beliau berkata, sektor perikanan, perladangan, pertanian dibenarkan beroperasi dalam tempoh itu namun sektor perniagaan dan perkilangan termasuk Industri Kecil dan Sederhana (IKS) yang ingin beroperasi boleh memohon daripada Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Sabah.

Pada sidang akhbar itu, Ismail Sabri turut memaklumkan bahawa kerajaan bersetuju melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) di Felda Umas, Tawau, juga berkuat kuasa jam 12.01 tengah malam ini (13 Oktober) sehingga 26 Oktober ini.

PKPD di kawasan itu melibatkan 800 rumah dengan 17,549 penduduk yang tidak dibenarkan keluar rumah dalam tempoh itu dan KKM akan melakukan saringan secara bersasar kepada semua penduduk yang terlibat.

“Semua laluan keluar masuk kawasan PKPD ditutup. Bagi kes kecemasan seperti sakit dan kematian, mereka dibenarkan untuk keluar zon tetapi perlu mengemukakan permohonan pergerakan kepada Polis Diraja Malaysia (PDRM).

“Bekalan keperluan makanan akan diagihkan oleh kerajaan negeri yang akan dikoordinasi Pusat Kawalan Operasi Bencana Negeri,” katanya.

Bagi memastikan pematuhan perintah ini, PDRM, Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM), Jabatan Sukarelawan Malaysia (Rela), pihak berkuasa tempatan dan pegawai yang diberi kuasa, akan mengawal seluruh kawasan terlibat. -Bernama