X

Kindly register in order to view this article
!

Amiruddin dilantik Pengarah Besar Felda baharu

Amiruddin Abdul Satar
A
A

SHAH ALAM - Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (Felda) mengumumkan pelantikan Datuk Amiruddin Abdul Satar sebagai Pengarah Besar Felda berkuatkuasa 15 Oktober ini.

Unit Komunikasi Koporat Felda menerusi kenyataan hari ini memaklumkan, Amiruddin berpengalaman lebih 31 tahun dalam bidang kewangan dan perniagaan.

"Beliau berkelulusan Sarjana Pentadbiran Perniagaan daripada Henley Business School University of Reading, United Kingdom.

"Sebahagian besar karier korporat beliau adalah bersama KPJ Healthcare Berhad di mana beliau terakhir sekali berkhidmat sebagai Presiden dan Pengarah Urusan syarikat tersebut.

"Beliau juga merupakan Ahli Jawatankuasa Penasihat Association of Chartered Certified Accountant (ACCA) Malaysia," katanya menerusi kenyataan hari ini.

Menurut kenyataan tersebut, Felda yakin dengan kehadiran Amiruddin sebagai Pengarah Besar Felda baharu akan membawa kesinambungan kepada usaha pemulihan dan transformasi Felda yang ketika ini berada pada landasan yang tepat.

"Beliau juga akan meneruskan aspirasi Felda untuk terus menjadi payung kepada kesejahteraan warga peneroka dan memfokuskan usaha meningkatkan pendapatan serta menambah baik taraf sosioekonomi warga peneroka.

"Seluruh ahli lembaga pengarah, pengurusan serta petugas mengucapkan selamat datang kepada beliau dan berharap pengalaman serta kepakaran beliau dapat memacu Felda kembali gemilang dan terbilang selaras dengan wawasan Pengerusi Felda, Datuk Seri Idris Jusoh," menurut kenyataan itu.


Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!