'Saya bukan tagih simpati'

Gambar Eadil tular berpakaian lengkap sebuah syarikat perkhidmatan penghantar makanan bagi mendapatkan dana pembinaan dewan baharu sekolah SAM Jeram.
Gambar Eadil tular berpakaian lengkap sebuah syarikat perkhidmatan penghantar makanan bagi mendapatkan dana pembinaan dewan baharu sekolah SAM Jeram.
A
A
A

KUALA SELANGOR - Pengetua Sekolah Agama Menengah (SAM) Jeram mengakui inisiatif gambar beliau yang tular berpakaian lengkap sebuah syarikat perkhidmatan penghantar makanan bukan bertujuan meraih simpati.

Eadil Mat berkata, sebaliknya beliau mahu orang ramai bersama-sama membangunkan sekolah dengan menyalurkan sumbangan untuk dana pembinaan dewan terbuka sekolah itu dengan nilai keseluruhan RM360,000.

Menurutnya, pelbagai aktiviti dilakukan oleh pihak Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) dan sekolah dalam mengumpul dana pembinaan dewan sekolah itu termasuk gimik beliau menjadi penghantar makanan bagi mencukupkan dana tersebut.

"Itu satu gimik sahaja yang menggambarkan kesungguhan pihak sekolah untuk mencari dana dan bukan tunggu orang datang (beri sumbangan)," katanya ketika dihubungi Sinar Harian di sini hari ini.

Eadil berkata, sejak gambarnya tular, dia sering dihubungi pelbagai pihak yang bertanyakan tentang kesahihan maklumat terbabit.

"Ia hanya gimik yang meminta masyarakat bersama-sama (membantu kami mengumpul dana bertujuan) membangunkan sekolah," katanya.

Beliau berkata, kos bagi pembinaan dewan terbuka ialah RM362,000.

"Sehingga 30 September lalu, kita berjaya mengumpul RM167,000 dan berharap ia dapat direalisasikan dalam waktu terdekat," katanya.

Artikel Berkaitan:

Katanya lagi, dewan itu diharap dapat memuatkan seramai 825 pelajar dan menjalankan kepelbagaian aktiviti yang berpusat di dewan baharu.

"Pelbagai aktiviti boleh dijalankan di dewan seperti perhimpunan harian, bacaan Yasin/Kahfi, halaqah ilmu, usrah selain aktiviti kokurikulum seperti sukan dan aktiviti kawad kaki," katanya.

Ujar beliau, pada masa ini, segala aktiviti itu dilakukan di Dataran SAM Jeram yang tidak berbumbung, selain di surau atau dalam kelas yang dibuka.

Sehubungan itu, orang ramai yang ingin menyumbang boleh menghulur sumbangan ke dalam akaun CIMB PIBG Sekolah Agama Jeram (8600730771) atau hubungi Pengerusi PIBG Sam Jeram, Ir Hasibullah Deris (012-2190 400) atau Eadil (019-220 6072).