X

Kindly register in order to view this article
!

Manchester City sedia lepaskan Guardiola

Pep Guardiola
A
A

MANCHESTER City tidak menghalang sekiranya Pep Guardiola mahu meninggalkan kelab tersebut apabila kontraknya tamat pada tahun depan.

Bagaimanapun, Ketua Pegawai Operasi City, Omar Berrada amat berharap agar Guardiola akan terus kekal mengemudi pasukan selain menyifatkan khidmat pengendali kelahiran Sepanyol itu masih diperlukan pada musim akan datang.

“Kita bercakap tentang pasukan yang telah banyak berkembang di bawah kendalian Guardiola dan dia kekal lama di kelab ini. Ia bermakna dia bahagia di sini.

“Guardiola merupakan pengurus terbaik di dunia dan kami mahu dia kekal di kelab ini. Kami akan berbincang dengannya mengenai kontrak baharu dan amat berharap agar dia menerimanya.

“Tetapi, jika dia mahu meninggalkan pasukan, kami tidak menghalang dan perlu mencari pengganti yang sesuai untuk posisinya itu.

“Keutamaan sekarang adalah untuk mengadakan perbincangan dengannya untuk memastikan dia kekal bersama pasukan untuk beberapa tahun lagi,” katanya.

Guardiola sedang memasuki tahun kelimanya di Etihad - tempoh paling lama buat pengurus itu selepas mengemudi Barcelona selama empat tahun dan tempoh tiga tahun bersama Bayern Munich.

Sejak membimbing City pada 2016, Guardiola sudah membawa pasukan itu memenangi lapan trofi dan turut memenangi kejuaraan Liga Perdana Inggeris (EPL) dua kali berturut-turut pada musim 2017/2018 dan 2018/2019.

Namun, masa depan Guardiola bersama pasukan itu mula menimbulkan tanda tanya selepas gergasi EPL itu gagal memenangi kejuaraan liga musim lalu sekali gus menimbulkan khabar angin bahawa pengendali itu tidak akan kekal lama di Etihad.


Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!