PKR arah ahli tidak berhimpun di Istana Negara esok

Saifuddin Nasution Ismail
Saifuddin Nasution Ismail
A
A
A

SHAH ALAM - Semua ahli Parti Keadilan Rakyat (PKR) diarah tidak mengadakan sebarang perhimpunan terutama di jalan-jalan utama menuju Istana Negara esok.

Arahan itu dikeluarkan Setiausaha Agung PKR, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berikutan Presiden parti itu, Datuk Seri Anwar Ibrahim dijangka akan menghadap Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah di Istana Negara.

"Anwar Ibrahim dijangka menghadap DYMM Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong di Istana Negara.

"Semua ahli parti diarah tidak mengadakan perhimpunan terutama di jalan-jalan utama menuju Istana Negara," katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Kulim-Bandar Baru itu turut memohon rakyat Malaysia bertenang sambil majlis menghadap itu berlangsung, termasuk jika berlaku sebarang proses selepas itu.

Dalam pada itu, Saifuddin menasihatkan ahli Parlimen daripada parti itu terus berkhidmat di kawasan masing-masing dan mengutamakan kebajikan serta nasib rakyat ketika pandemik koronavirus (Covid-19) menular.

Terdahulu, Anwar dalam kenyataannya sebelum ini mendakwa, Yang di-Pertuan Agong memperkenankan beliau menghadap baginda esok.

Anwar turut memaklumkan akan mempersembahkan keterangan lengkap mengenai jumlah majoriti Ahli Parlimen seperti yang dinyatakan sebelum ini kepada Yang di-Pertuan Agong pada majlis menghadap itu.

Artikel Berkaitan:

ARTIKEL BERKAITAN: Anwar menghadap Agong Selasa ini

Anwar buat penerangan mengenai 'majlis menghadap Agong'