Polis siasat kes penyebaran senarai 121 Ahli Parlimen sokong Anwar

Huzir Mohamed
Huzir Mohamed
A
A
A

KUALA LUMPUR - Polis sedang menjalankan siasatan berhubung kes penyebaran senarai nama 121 ahli Parlimen yang menyokong Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, Datuk Huzir Mohamed berkata, siasatan kes tersebut dibuat susulan laporan polis daripada Ahli Parlimen Jerantut, Datuk Ahmad Nazlan Idris pada Khamis lalu.

"Sehingga kini, sebanyak enam laporan polis telah diterima, kita masih menjalankan siasatan lanjut berhubung dakwaan yang tersebar luas di media sosial," katanya dalam kenyataan akhbar di sini hari ini.

Huzir berkata lagi, Anwar telah diminta hadir memberi keterangan esok, namun setiausaha sulitnya memaklumkan Ahli Parlimen Port Dickson itu hanya dapat hadir pada jam 9 pagi pada Rabu ini.

"Jesteru, kita telah menangguhkan janji temu tersebut sehingga satu tarikh yang akan dimaklumkan kelak," katanya.

Huzir turut menasihatkan semua pihak yang berkepentingan supaya tidak menyebarkan berita yang belum pasti kesahihannya.

"Kita tidak akan teragak-agak mengambil tindakan ke atas pihak yang menyebarkan berita palsu, tidak sahih dan mengelirukan orang ramai," katanya.

Kes disiasat mengikut Seksyen 505 (b) Kanun Keseksaan dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.

Artikel Berkaitan: