Wanita hamil lima bulan, suami didakwa merompak

Pasangan suami isteri didakwa di Mahkamah Sesyen Kulim, Kedah atas tuduhan merompak seorang lelaki.
Pasangan suami isteri didakwa di Mahkamah Sesyen Kulim, Kedah atas tuduhan merompak seorang lelaki.
A
A
A

KULIM - Sepasang suami isteri didakwa di Mahkamah Sesyen Kulim di sini hari ini atas pertuduhan merompak, bulan lalu.

Bagaimanapun, Pakiarajan Pakiasamy, 38, dan isterinya, Mageswary Marimuthu, 30, yang sedang hamil lima bulan mengaku tidak bersalah pertuduhan itu di hadapan Hakim Musyiri Peet.

Berdasarkan pertuduhan, pasangan itu didakwa bersama-sama melakukan rompakan ke atas seorang lelaki berusia 57 tahun pada 30 September lalu.

Kedua-duanya didakwa merompak dua buah telefon bimbit lelaki itu dan sengaja menyebabkan mangsa cedera di sebuah hotel di sini jam kira-kira jam 8.30 malam.

Mereka didakwa mengikut Seksyen 394 Kanun Keseksaan dan dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan yang boleh dihukum penjara sehingga 20 tahun dan dikenakan denda atau sebatan jika sabit kesalahan.

Timbalan Pendakwa Raya, Pavitra Satha Sivam ketika pendakwaan meminta mahkamah memberikan jaminan terhadap tertuduh.

Bagaimanapun, kedua-duanya merayu jumlah jaminan dikurangkan kerana mempunyai tanggungan enam anak berusia dari 1 hingga 13 tahun selain Mageswary sedang hamil anak ketujuh.

Musyiri kemudian membenarkan kedua-dua tertuduh diikat jamin sebanyak RM8,000 dan seorang penjamin bagi setiap seorang.

Artikel Berkaitan:

Mahkamah turut menetapkan 12 November ini sebagai tarikh sebulan semula kes.