23 pekerja kelab golf Tropicana dijangkiti Covid-19

Kakitangan KKM sedang buat senarai individu di asrama pekerja Tropicana Golf & Country Resort yang perlu menjalani saringan Covid-19.
Kakitangan KKM sedang buat senarai individu di asrama pekerja Tropicana Golf & Country Resort yang perlu menjalani saringan Covid-19.
A
A
A

PETALING JAYA - Seramai 23 pekerja warga tempatan dan warga asing di asrama pekerja Tropicana Golf & Country Resort dilaporkan positif Covid-19.

Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Nik Ezanee Mohd Faisal berkata, sebanyak 11 kes positif dilaporkan semalam dan maklumat terkini Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) bahawa 12 lagi individu positif menjadikannya sebanyak 23 kes.

Nik Ezanee berkata, KKM telah mengeluarkan notis perintah untuk menutup kawasan berkenaan kelmarin.

"Pegawai KKM telah membuat laporan semalam di balai polis Damansara mendakwa Tropicana Golf & Country Resort masih beroperasi.

Sepasukan polis telah dihantar ke sana untuk siasatan lanjut," katanya.

Beliau memaklumkan kertas siasatan telah dibuka mengikut Seksyen 269 Kanun Keseksaan dan Seksyen 22(B) Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988.

Nik Ezanee berkata, seramai 20 anggota polis telah diarahkan memantau Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) di kawasan itu selama 14 hari berkuat kuasa hari ini.

"Sebanyak 597 pekerja di kawasan itu dijangka akan menjalani saringan Covid-19. Pegawai KKM kini sedang menyenaraikan individu yang perlu menjalani saringan itu esok," katanya.

Artikel Berkaitan:

Terdahulu Menteri Kanan (Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob memaklumkan perintah itu dilaksana selepas Mesyuarat Khas Majlis Keselamatan Negara (MKN) menerima nasihat Kementerian Kesihatan (KKM) susulan kes positif Covid-19 membabitkan pekerja itu.

Katanya, PKPD juga perlu untuk membolehkan ujian saringan dan pengawalan penularan wabak dilakukan ke atas 500 pekerja dilakukan sebaik mungkin.

"PKPD ini bagi membendung jangkitan dan penularan Covid-19 dalam kalangan penghuni asrama dan membolehkan pengesanan secara langsung dilakukan sepanjang tempoh itu," katanya.

ARTIKEL BERKAITAN: PKPD di asrama pekerja Tropicana<

PKPD Asrama Tropicana