X

Kindly register in order to view this article
!

Belanjawan 2021: Mampu hidupkan semula ekonomi akibat Covid-19

Tengku Zafrul (kanan) memberi ucapan perasmian "Menanggapi Kesan Covid-19 ke atas Ekonomi dan Kewangan" melalui platform maya Zoom sempena Sidang Kemuncak Ekonomi Malaysia 2020 anjuran KSI dan Kelab Ekonomi Kuala Lumpur, hari ini.
A
A

KUALA LUMPUR - Belanjawan 2021 dijangka dapat memberi anjakan baharu kepada perkembangan ekonomi negara untuk beralih daripada fasa pemulihan kepada usaha menghidupkan semula ekonomi yang terjejas akibat pandemik Covid-19.

Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz berkata, bagi mencapai matlamat itu, kerajaan akan mempertimbangkan kaedah yang lebih lestari bagi mengembangkan ekonomi serta membina ketahanan masa depan negara yang lebih baik.

Beliau berkata, ini kerana selagi vaksin Covid-19 masih belum tersedia secara komersial, impak pandemik itu tetap menjadi ancaman kepada pembangunan dan pertumbuhan masa depan sosio-ekonomi negara.

Justeru katanya, langkah-langkah Belanjawan 2021 akan dibuat berdasarkan empat prinsip utama iaitu menjaga rakyat, memacu ekonomi negara, kehidupan lestari serta penyampaian perkhidmatan awam melalui data dan digitalisasi.

"Prinsip pertama akan memberi penekanan di mana kerajaan akan menumpukan perhatian untuk menangani isu penguncupan pendapatan, perbezaan pendapatan, penciptaan pekerjaan bernilai tinggi, dan juga jurang digital kumpulan yang rentan.

"Menerusi prinsip kedua fokus akan dibuat termasuk meningkatkan pengembangan modal insan di TVET (Pendidikan Teknikal dan Latihan Vokasional) dan peningkatan, perkongsian awam-swasta untuk meningkatkan pemindahan pengetahuan dan inovasi," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ucapan perasmian Menanggapi Kesan Covid-19 ke atas Ekonomi dan Kewangan melalui platform maya Zoom sempena Sidang Kemuncak Ekonomi Malaysia 2020 anjuran KSI dan Kelab Ekonomi Kuala Lumpur, hari ini.

Tengku Zafrul berkata, menerusi prinsip ketiga kerajaan akan mempertimbangkan prinsip-prinsip ekonomi pekeliling yang menyentuh bidang pengeluaran, penggunaan, pemuliharaan sumber alam, kelestarian perniagaan dan sosial yang lestari.

Menurutnya, aspek terakhir yang akan ditekankan dalam Belanjawan 2021 ialah meningkatkan penyampaian perkhidmatan awam melalui data dan digitalisasi untuk menambah kecekapan pelaksanaan serta melalui kolaborasi yang lebih besar dengan masyarakat awam, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan agensi termasuk syarikat berkaitan kerajaan (GLC) dan syarikat pelaburan berkaitan kerajaan (GLIC).

Selain itu beliau berkata, kerajaan sedang berusaha menarik pelaburan berkualiti yang akan menambah nilai ekonomi negara, mempermudah pemindahan teknologi dan membolehkan Malaysia beralih ke arah ekonomi berpendapatan tinggi.

"Ini memerlukan pelaburan dan inovasi keutamaan berimpak tinggi bagi mewujudkan pekerjaan bernilai tinggi dengan lebih luas," katanya.

Dalam pada itu, Tengku Zafrul berkata, beberapa strategi utama turut diperkenalkan bagi memastikan sektor industri elektrik dan elektronik (E&E) yang mapan termasuk infrastruktur sokongan.

Selain itu katanya, fokus yang lebih besar untuk mempercepat peralihan ke ekonomi digital terutama di bidang peningkatan infrastruktur untuk pelaburan di seluruh negara merangkumi inisiatif seperti pelan tindakan Jalinan Digital Negara (Jendela) dan 'National Digital Identity'.

"Seterusnya, insentif cukai pelaburan juga telah diumumkan di bawah Pelan Jana Semula Ekonomi Negara (Penjana) untuk syarikat yang berpindah ke Malaysia serta memperkukuhkan perkhidmatan pelabur dan tambahan untuk memudahkan pelaburan menerusi Penjana.

"Pandemik Covid-19 juga banyak mengajar kita tentang kepentingan untuk mengesan kemajuan dan pelaksanaan yang telah dilakukan dan pendekatan berdasarkan data telah memungkinkan kita untuk meningkatkan langkah dan pelaksanaan kita.

"Pendekatan ini juga seharusnya boleh diaplikasikan untuk aspek pembinaan negara pada masa depan termasuk pelaksanaan langkah-langkah di bawah Belanjawan 2021," katanya.


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!