Pencapaian luar biasa Penyu baru bertatih

Antara aksi menarik pertemuan TFC menentang Pahang saingan Liga Super malam tadi. - Foto Officialterengganufc
Antara aksi menarik pertemuan TFC menentang Pahang saingan Liga Super malam tadi. - Foto Officialterengganufc
A
A
A

KUALA NERUS - Ketua jurulatih Terengganu FC (TFC) Nafuzi Zain menyifatkan kejayaan pasukannya menamatkan saingan Liga Super musim ini di tangga tiga teratas sebagai suatu pencapaian luar biasa dan patut dibanggakan.

Menurut Nafuzi, sebagai pengendali muda yang baru ‘bertatih’ dalam dunia kejurulatihan, tanggungjawab melatih sebuah pasukan yang dibarisi ramai pemain muda bukanlah satu tugas yang mudah.

Justeru beliau amat berpuas hati dan berterima kasih dengan usaha serta kerja keras anak buahnya yang dipamerkan sejak awal musim lagi.

"Bagi saya berada pada kedudukan tiga teratas ini adalah pencapaian luar biasa untuk saya jurulatih muda yang masih belajar dan baru semusim dalam Liga Super berbanding jurulatih berpengalaman yang lain,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas perlawanan terakhir Liga Super menentang Pahang, di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin malam tadi.

Pada perlawanan itu, TFC berjaya menundukkan Pahang 2-1 sekali gus mengakhiri Liga Super musim ini di tangga ketiga di belakang Kedah dengan 19 mata.

Sementara itu pengendali Pahang, Dollah Salleh berkata, masalah kecederaan pemain yang berterusan menjadi punca utama pasukannya gagal mencapai tahap prestasi ditetapkan dan sekadar menduduki tempat ketujuh Liga Super.

Menurut Dollah, keputusan tersebut mungkin berubah jika beliau mendapat kesebelasan pemain terbaik seperti dirancang.

Artikel Berkaitan:

"Persiapan saya banyak terganggu sebab ramai pemain cedera dan untuk satu-satu pasukan serasi bila kita buat pertukaran, ia mengambil masa.

"Kita pun main satu pusingan sahaja untuk musim ini dan ia menyebabkan persiapan saya terganggu," katanya yang mahu memberi tumpuan kepada saingan Piala Malaysia selepas ini. - Bernama