Australia diramal berdepan risiko banjir, ribut petir

Biro Meteorologi Australia meramalkan kawasan di timur dan utara Australia dijangka mengalami risiko banjir, ribut petir serta taufan tropika bermula Oktober hingga April 2021. - Gambar hiasan
Biro Meteorologi Australia meramalkan kawasan di timur dan utara Australia dijangka mengalami risiko banjir, ribut petir serta taufan tropika bermula Oktober hingga April 2021. - Gambar hiasan
A
A
A

SYDNEY - Biro Meteorologi Australia hari ini meramalkan kawasan di timur dan utara Australia dijangka mengalami risiko banjir, ribut petir serta taufan tropika bermula Oktober hingga April 2021, lapor agensi berita Xinhua.

Pada akhir September, fenomena La Nina menjadi aktif menyebabkan perubahan suhu laut dan corak cuaca di kawasan Pasifik, berkemungkinan sehingga akhir tahun ini.

Keadaan itu menyebabkan curahan hujan lebih banyak di timur dan utara Australia, termasuk di beberapa kawasan yang dilanda kemarau.

Walaupun sejak beberapa dekad kebelakangan ini menyaksikan penurunan jumlah taufan tropika di Australia, ahli klimatologi Greg Browning mengatakan keadaan itu cenderung untuk berubah.

"Dianggarkan Australia menyaksikan sembilan hingga 11 siklon tropika setiap tahun, dengan empat merentasi pantai. Dengan fenomena La Nina tahun ini kami menjangkakan siklon tropika akan banyak berlaku berbanding biasa," kata Browning.

Beliau menasihatkan penduduk di utara Australia bersiap sedia mulai sekarang.

Biro itu turut memberi amaran risiko gelombang panas yang lebih lama dan peningkatan kelembapan.

"Walaupun gelombang panas mungkin tidak teruk, penduduk di kawasan selatan masih perlu berwaspada dan senantiasa mendapatkan maklumat terkini," kata biro itu. - Bernama

Artikel Berkaitan: