Prosiding Bung Moktar dan Zizie tangguh susulan PKPB di Sabah

Bung Moktar dan isterinya, Zizie Izette
Bung Moktar dan isterinya, Zizie Izette
A
A
A

KUALA LUMPUR - Perbicaraan kes rasuah membabitkan Ahli Parlimen Kinabatangan, Datuk Seri Bung Moktar Radin dan isterinya, Datin Seri Zizie Izette A Samad yang sepatutnya berlangsung hari ini dan esok ditangguhkan berikutan kedua-duanya masih berada di Sabah.

Ia susulan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) yang dilaksanakan di sana ekoran penularan pandemik koronavirus (Covid-19).

Perkara itu dimaklumkan oleh Timbalan Pendakwaraya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Abdul Rashid Sulaiman selepas pengurusan kes tersebut dalam kamar Hakim Mahkamah Sesyen, Rozina Ayub.

Abdul Rashid berkata, sepatutnya tarikh bicara pada 12 dan 13 Oktober (hari ini dan esok), namun menurutnya, hari ini hanya ditetapkan bagi pengurusan kes susulan kedua-duanya masih berada di Sabah.

"Mahkamah menetapkan 21 sehingga 24 Disember depan sebagai tarikh perbicaraan kes ini dan akan berjalan seperti biasa.

"Tadi saya dan peguam ada berbincang mengenai tarikh baharu, namun setakat ini tarikh itu sahaja yang ditetapkan," katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Abdul Rashid berkata lagi, perbicaraan berkenaan hanya akan berjalan pada Disember nanti sehingga Bung Moktar dan Zizie Izette tamat menjalani kuarantin dan PKPB di Sabah.

Dalam prosiding hari ini, turut hadir peguam, Ridha Abdah Subri, A Ashok, Teh See Khoon dan Arwinder Kaur.

Artikel Berkaitan:

Sementara itu, Ridha Abdah yang mewakili Bung Moktar ketika ditemui di luar mahkamah berkata, mengesahkan bahawa perbicaraan tersebut ditangguhkan dan bersidang semula pada 21 Disember depan.

Menurutnya, dia juga ada berhubung dengan Bung Moktar sepanjang Timbalan Ketua Menteri Sabah itu dan Zizie Izette berada di sana melalui sidang video.

Untuk rekod, Bung Moktar mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen terhadap tiga pertuduhan memperoleh suapan berjumlah RM2.8 juta bagi mendapatkan kelulusan untuk Felcra Berhad melabur RM150 juta bagi menyertai produk unit amanah Public Mutual Berhad.

Bung Moktar sebagai ejen kepada Felcra iaitu Pengerusi Bukan Eksekutif Felcra Berhad (ketika itu) memperoleh suapan RM2.2 juta daripada ejen pelaburan Public Mutual Berhad, Madhi Abdul Hamid melalui isterinya, Zizie Izette.

Suapan itu adalah sebagai upah bagi mendapatkan kelulusan daripada Menteri Kewangan II bagi Felcra membuat pelaburan sebanyak RM150 juta untuk menyertai produk unit amanah Public Mutual Berhad.

Kesalahan itu didakwa dilakukan di Public Bank Berhad Cawangan Taman Melawati jam 12.30 tengah hari pada 12 Jun 2015.

Bagi tuduhan kedua, Bung Moktar didakwa memperoleh suapan berjumlah RM262,500 daripada Madhi melalui akaun Public Islamic Treasures Growth Fund atas nama isterinya sebagai upah untuk mendapatkan kelulusan daripada Menteri Kewangan II bagi Felcra membuat pelaburan RM150 juta bagi menyertai produk unit amanah Public Mutual Berhad.

Tuduhan ketiga pula, Bung Moktar didakwa memperoleh suapan RM337,500 daripada seorang lagi ejen Public Mutual Berhad melalui akaun Public Ittikal Sequel Fund atas nama isterinya.

Bagi ketiga-tiga pertuduhan itu, beliau didakwa mengikut Seksyen 17(A) Akta SPRM 2009 dan boleh dihukum mengikut Seksyen 21(4) akta sama.

Zizie Izzete turut didakwa pada tarikh sama atas pertuduhan bersubahat dalam tiga pertuduhan dihadapi suaminya itu yang mana jika sabit kesalahan mereka boleh dihukum penjara maksimum 20 tahun dan denda lima kali jumlah nilai suapan yang menjadi perkara hal kesalahan itu atau RM10,000 atau mana-mana yang lebih tinggi.