Jangan tuding jari, cermin diri dahulu!

Ahmad Fadhli Shaari
Ahmad Fadhli Shaari
A
A
A

SHAH ALAM - Pembangkang wajar membentangkan satu pelan khusus dan lengkap secara rasmi berhubung kaedah menangani penularan wabak koronavirus (Covid-19) berbanding menuding jari kepada kerajaan.

Ahli Parlimen Pasir Mas, Ahmad Fadhli Shaari kesal apabila pelbagai tohmahan dilontarkan seolah-olah kerajaan di bawah pimpinan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin yang bertanggungjawab sepenuhnya di atas penularan wabak yang menunjukkan peningkatan.

Ahmad Fadhli berkata, pandangan pembangkang seolah-olah kejayaan kerajaan meminimumkan jangkitan sehingga ke angka kosong (penularan tempatan) tiada nilai.

"Barangkali pihak yang menyalahkan kerajaan terlupa bahawa mereka jugalah yang bertegas untuk mengadakan Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah dalam keadaan negara sedang berdepan krisis pandemik," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau berkata demikian mengulas kritikan pemimpin-pemimpin parti pembangkang yang menyalahkan kerajaan di atas kenaikan angka jangkitan wabak Covid-19 kebelakangan ini.

Beliau turut menempelak pembangkang yang mencadangkan pesakit sedang dikuarantin dibenarkan untuk mengundi.

ARTIKEL BERKAITAN: PRN Sabah: Pesakit Covid-19 tidak boleh mengundi

"Siapakah pula yang menyerang kenyataan Menteri Kesihatan yang sedang mempertimbangkan untuk meneliti keperluan mengenakan kuarantin wajib terhadap mereka yang pulang ke Semenanjung selepas urusan PRN selesai kalau bukan bekas menteri dari Pakatan Harapan," soalnya.

Katanya, seorang bekas menteri begitu yakin menyebut bahawa selepas PRN Sabah berakhir, angka jangkitan Covid-19 turun mendadak.

Artikel Berkaitan:

"Kenyataan demi kenyataan yang dikeluarkan ini sebenarnya secara tidak langsung memberikan tekanan kepada kerajaan Pusat untuk tidak bertindak lebih tegas menangani penularan wabak pandemik yang merbahaya ini," katanya.

Tambahnya, selain pelan menghadap Istana pada 13 Oktober, pelan menangani Covid-19 inilah yang rakyat ingin tahu dan membuat penilaian.