X

Kindly register in order to view this article
!

Isnin | 27 Jun 2022

Lang Merah terbang tinggi di Ipoh

Antara aksi menarik pertemuan kedua-dua pasukan di Stadium Perak, malam ini. - Foto Perak TBG
A
A

KEDAH muncul naib juara CIMB Liga Super apabila menewaskan Perak 3-2 pada aksi terakhir CIMB Liga Super di Stadium Perak, Ipoh malam tadi sekali gus mengesahkan slot skuad Lang Merah itu ke saingan Piala AFC 2021.

Kedua-dua pasukan bermula baik sebaik wisel permulaan dengan menyaksikan asakan-asakan ke gawang lawan masing-masing dalam usaha membuka jaringan, namun kesemua asakan berkenaan dilihat gagal menepati sasaran selain berjaya dikekang benteng pertahanan lawan masing-masing.

Kedah akhirnya membuka jaringan menerusi penyerang import Kpah Sherman pada minit ke-28 setelah pemain kelahiran Liberia itu berjaya melepasi kawalan pertahanan termasuk penjaga gol, Muhammad Hafizul Hakim Khairul Nizam Jothy sebelum merembat ke pintu gol yang terbuka.

Dua minit berselang, giliran Mohd Fadzrul Danel Mohd Nizam meledak gol kedua pelawat menerusi rembatan deras hasil lorongan cantik kapten Kedah, Baddrol Bakhtiar.

Tersentak dengan dua gol berkenaan kesebelasan Perak dilihat mula bangkit mengatur asakan ke gawang Kedah dan kemudiannya mendapat peluang keemasan merapatkan jurang menerusi sepakan penalti setelah Muhammad Firdaus Saiyadi dikasari dalam kotak penalti.

Bagaimanapun, Muhammad Shahrel Fikri Md Fauzi yang diberikan tanggungjawab menyempurnakan sepakan berkenaan gagal menewaskan penjaga gol Kedah Muhammad Azri Ab Ghani sebelum pengadil mengarahkan sepakan penalti itu diambil semula kerana Muhammad Azri dikesan bergerak sebelum sepakan dilakukan.

Sepakan penalti kali kedua ini berjaya disempurnakan oleh kapten Perak, Leandro dos Santos yang sekali gus dilihat berjaya menyemarakkan semangat kesebelasan skuad The Bos Gaurus itu untuk mengasak gawang pelawat bagi menambah jaringan.

Asakan berkenaan akhirnya berjaya membuahkan hasil apabila Leandro sekali lagi mencatatkan nama selaku penjaring apabila menanduk masuk hasil sepakan percuma Muhammad Rafiuddin Rodin pada minit kecederaan babak pertama.

Babak kedua menyaksikan Kedah bermula garang menerusi asakan-asakan merbahaya ke gawang Perak bagi menambah jaringan.

Namun, skuad Lang Merah itu perlu menunggu sehingga minit ke-63 untuk menjaringkan gol ketiga hasil jaringan Renan Alves yang menanduk masuk sepakan penjuru Baddrol Bakhtiar.

Kembali ketinggalan nyata tidak melemahkan semangat kesebelasan Perak yang dilihat tetap bersemangat mengatur asakan ke pintu gol Kedah bagi meledak jaringan.

Bagaimanapun, asakan-asakan berkenaan dilihat gagal menghasilkan sebarang jaringan apabila benteng Kedah dilihat terus kental bertahan hingga ke wisel penamat.

PERAK – Muhammad Hafizul Hakim Khairul Nizam Jothy, Amirul Azhan Aznan (Farid Khazali/ Adib Raop), Anthony Paul Golec, Mohamad Idris Ahmad, Muhammad Rafiuddin Rodin, Kenny Pallraj, Leandro dos Santos (kapten) Muhammad Firdaus Saiyadi (Thierry Chantha Bin), J.Partiban, Raianderson da Costa Morais, Muhammad Shahrel Fikri Md Fauzi

KEDAH – Muhammad Azri Ab Ghani, Mohd Rizal Mohd Ghazali, Renan da Silva Alves, Muhammad Irfan Zakaria, Muhammad Shakir Hamzah, Baddrol Bakhtiar (kapten) (David Rowley), Mohamad Amirul Hisyam Awang Kechik, Mohd Fadzrul Danel Mohd Nizam, Muhamad Faizat Mohamad Ghazali (Azammudin Akil), Kpah Sean Sherman (Zaquan Adha), Tchetche Kipre (Aliff Yusof)

Pengadil – Razlan Joffri Ali


Jangan lupa follow kami di Instagram, Telegram dan TikTok
Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah © 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!