JAIS tangguh majlis akad nikah di PAID Klang

Mohd Shahzihan. Gambar kecil: JAIS menangguhkan semua janji temu majlis akad nikah yang dijadual dilaksanakan di PAID Klang berkuatkuasa serta-merta mulai esok.
Mohd Shahzihan. Gambar kecil: JAIS menangguhkan semua janji temu majlis akad nikah yang dijadual dilaksanakan di PAID Klang berkuatkuasa serta-merta mulai esok.
A
A
A

SHAH ALAM – Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) menangguhkan semua janji temu majlis akad nikah yang dijadual dilaksanakan di Pejabat Agama Islam Daerah Klang (PAID Klang) berkuat kuasa serta-merta mulai esok.

Pengarah JAIS, Mohd Shahzihan Ahmad berkata, ia melibatkan janji temu yang dibuat sebelum atau pada 7 Oktober lalu melibatkan pasangan dari zon Klang dan zon Kapar.

Menurutnya, keputusan itu dibuat berikutan penangguhan semua aktiviti di masjid dan surau oleh JAIS yang melibatkan seluruh daerah Klang berkuat kuasa 7 Oktober lalu dan penguatkuasaan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) Jumaat lalu.

"Janji temu akad nikah individu terlibat di PAID Klang akan dijadualkan semula.

"Sebarang perkembangan terkini berkaitan pelaksanaan majlis akad nikah di daerah Klang ini akan dimaklumkan dari masa ke masa," katanya menerusi satu kenyataan hari ini.

Terdahulu, seramai 800,000 penduduk di mukim Klang terlibat dengan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB).

Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari berkata, PKPB turut melibatkan 36 kawasan di mukim Klang antaranya Bandar Bukit Tinggi, Kampung Johan Setia, Kampung Bukit Naga, Kampung Perigi Nenas, Kampung Kuantan, Kampung Serdang, Bandar Puteri, Kampung Sungai Kandis dan Taman Sri Andalas.

Artikel Berkaitan: