X

Kindly register in order to view this article
!

Ingkar SOP, kawasan rekreasi R&R Bagan Ajam diarah tutup

Noorzainy Mohd Noor
A
A

BUTTERWORTH - Kawasan rekreasi dan tepi pantai di kawasan Rehat dan Rawat (R&R) Bagan Ajam di Lebuhraya Lingkaran Luar Butterworth (BORR), di sini diarah tutup selama dua minggu bermula hari ini.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara (SPU), Asisten Komisioner Noorzainy Mohd Noor berkata, arahan itu dikeluarkan selepas pemeriksaan menerusi Op Pematuhan Covid-19 mendapati pengunjung gagal mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan ketika Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP).

Beliau berkata, dalam operasi bermula jam 6.30 petang tadi, pihak polis bersama Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan Majlis Bandaraya Seberang Perai (MBSP) mendapati pengunjung gagal mengikuti SOP dengan tiada penjarakan fizikal serta tidak memakai pelitup muka.

"Pihak polis telah membuat pemantauan di kawasan rekreasi itu sejak dua hari lepas dan kehadiran pengunjung memang ramai malah mereka tidak menjaga penjarakan fizikal dan ada yang tidak memakai pelitup muka serta berkumpul dalam kumpulan yang ramai bersama kanak-kanak serta warga emas.

"Kami sebelum ini telah memberi nasihat serta amaran kepada pengunjung namun pemeriksaan hari ini mendapati mereka masih ingkar, ekoran itu atas saranan KKM, MBSP telah mengambil keputusan untuk menutup sementara kawasan rekreasi tersebut terutama ketika kes Covid-19 semakin meningkat sekarang ini," katanya kepada pemberita selepas operasi itu hari ini.

Katanya, lokasi itu sering menjadi tumpuan orang ramai terutamanya pada hujung minggu menyebabkan ramai pengunjung dan pihaknya terpaksa mengambil tindakan menutup kawasan berkenaan dalam usaha membendung penularan wabak Covid-19.

Noorzainy berkata, bagaimanapun, kawasan R&R Bagan Ajam itu tetap beroperasi seperti biasa dan peniaga didapati mematuhi SOP yang ditetapkan.

Katanya, dalam operasi selama lebih dua jam di kawasan itu, seramai 120 orang telah dikenakan kompaun RM1,000 setiap seorang kerana gagal mematuhi SOP ditetapkan ketika PKPP.

"Ada antara mereka sengaja ingkar dengan tidak memakai pelitup muka kononnya berada di pantai dan kawasan rekreasi di situ, malah ada yang telah diberi amaran ketika operasi pematuhan semalam namun hari ini tetap melakukan kesalahan sama iaitu tiada penjarakan fizikal dalam kumpulan ramai," katanya.

Beliau berkata, operasi itu akan diteruskan dari masa ke masa dalam usaha memastikan orang ramai mematuhi SOP ditetapkan terutama dalam usaha memutuskan rantaian Covid-19.

Beliau turut menasihatkan orang ramai agar tidak lagi datang ke kawasan itu atau kawasan rekreasi lain sekarang ini dengan membawa kanak-kanak dan warga emas kerana mereka antara yang berisiko tinggi dijangkiti Covid-19. - Bernama


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!