Wacana Al-Quran bermula 19 Oktober

Program bual bicara Wacana Al-Quran yang mengupas pelbagai topik terkini berlandaskan al-Quran akan disiarkan secara langsung melalui Sinar Harian Online bermula 19 Oktober ini.
Program bual bicara Wacana Al-Quran yang mengupas pelbagai topik terkini berlandaskan al-Quran akan disiarkan secara langsung melalui Sinar Harian Online bermula 19 Oktober ini.
A
A
A

SHAH ALAM - Selepas kejayaan kempen My#QuranHour sejak tujuh tahun lalu dan penyiaran 200 siri program wacana, Sinar Harian kini melangkah setapak ke hadapan apabila memperkenalkan satu lagi program baharu iaitu Wacana Al-Quran.

Penerbit Sinar Harian, Datuk Dr Hussamuddin Yaacub berkata, Wacana Al-Quran yang akan diterbitkan setiap hari Isnin hingga Jumaat melalui portal Sinar Harian Online, Facebook dan YouTube akan menjadi platform mengupas isu-isu semasa dengan menjadikan al-Quran sebagai solusi.

Program itu akan disiarkan dari pukul 6 hingga 7 petang setiap hari melalui semua platform digital Sinar Harian Online. Episod pertama akan bermula pada hari Isnin, 19 Oktober ini.

Menurutnya, Sinar Harian berhasrat membawakan program yang memberi manfaat kepada masyarakat terutama melibatkan isu berkaitan membina ekosistem Islam dan mengekang keruntuhan moral bangsa.

“Sudah tujuh tahun kita buat kempen My#QuranHour dan ia telah menjadi ikutan dan meresap ke dalam minda, hati serta karakter. Ramai yang beli al-Quran untuk dibaca dan ingin memahami isinya. Jadi al-Quran ada penyelesaian kepada apa sahaja masalah dalam kehidupan kita.

“Oleh itu, menerusi Wacana Al-Quran, apa sahaja isu ekonomi, kewangan, politik dan sebagainya, apa yang al-Quran kata, kita bawa semua isu kepada satu penyelesaian melalui cara dan kaedah yang dipandu oleh al-Quran,” katanya di sini semalam.

Hussamuddin
Hussamuddin

Hussamuddin yang juga Pengerusi Kumpulan Karangkraf memberitahu, program Wacana Sinar Harian yang memasuki siri ke-200 baru-baru ini pula telah pun dikenali masyarakat dan menjadi ikutan dengan mengupas pelbagai isu semasa.

Artikel Berkaitan:

Sehubungan itu, beliau yakin sekiranya Sinar Harian berjaya menganjurkan Wacana Al-Quran setiap minggu kali ini dengan sokongan kandungan tenaga pakar yang diketengahkan Yayasan Wawasan Ummah Ikhlas (WUIF), banyak pihak akan memperoleh kebaikan daripada usaha itu.

“Sebelum ini, kita bawa isu secara seimbang, jadi sekarang kita hendak bagi penyelesaian kepada ummah iaitu melalui al-Quran. Kita mahu wujudkan satu ekosistem yang mana ALLAH dah tunjuk dalam al-Quran.

“Kenapa Sinar Harian buat, sebab kita hendak memperjelaskan mesej yang ada dalam al-Quran dan membawanya dalam wacana supaya orang ramai faham,” katanya.

Dalam pada itu, Hussamuddin berkata, pihaknya juga berhasrat menganjurkan satu lagi program iaitu My#HadithTime yang akan mengupas hadis sahih supaya lebih difahami masyarakat.

No Image Caption