Doakan kesejahteraan warga Klang

No Image Caption
A
A
A

SEGALA kemungkinan yang penulis rasa dan ramalkan sebelum ini akhirnya menjadi kenyataan. Bandar Klang yang dulunya dikategorikan kawasan zon hijau bertukar menjadi zon merah gara-gara kes koronavirus (Covid-19) semakin meningkat.

Kegusaran penulis mula timbul apabila dua pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Pandamaran Jaya disahkan positif Covid-19 selepas dijangkiti wabak itu daripada abang mereka yang mempunyai sejarah perjalanan ke Sabah baru-baru ini.

Bagaimanapun, tiada arahan penutupan sekolah dibuat dan aktiviti sekolah berjalan seperti biasa. Hal ini membuatkan ibu bapa bimbang dengan keselamatan anak-anak mereka.

Lebih merisaukan lagi, apabila sekolah terbabit terletak berhampiran dengan sekolah rendah anak-anak penulis. Sejak itu WhatsApp dalam grup sekolah bertalu-talu dipenuhi pertanyaan ibu bapa dan penjaga berhubung status sama ada sekolah ditutup atau berjalan seperti biasa.

Timbul kesian pada guru-guru apabila mereka terpaksa memberikan penjelasan agar tidak timbul panik dalam kalangan ibu bapa dan murid-murid. Pujian harus diberikan kepada mereka kerana tenang berdepan dengan kerenah ibu bapa.

Akhirnya kata sepakat diputuskan. Ibu bapa boleh ‘mengecualikan’ anak-anak mereka daripada menghadirkan diri ke sekolah dengan syarat mereka perlu memaklumkan kepada pihak sekolah dan guru kelas.

Penulis juga mengambil keputusan sama kerana bimbang keselamatan mereka, lebih-lebih lagi ada dalam kalangan rakan-rakan sekelas mereka tinggal di kawasan perumahan yang terdapat kes positif Covid-19. Jadi penulis dan suami tidak mahu risikokan mereka.

Mencegah itu lebih baik daripada mengubati!Namun bila Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mengumumkan Klang antara daerah yang dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) akibat peningkatan kes Covid-19, perasaan terus bercampur aduk.

Artikel Berkaitan:

Rasa geram dan marah kepada mereka yang menjadi punca kes ini kembali menular di daerah yang penulis huni sejak berkahwin pada 2008. Pada masa sama, penulis lega apabila ‘Pak Long Mail’ turut mengumumkan semua sekolah di Klang ditutup.

Bagi penulis, keselamatan anak-anak jauh lebih utama walaupun sekolah menitikberatkan prosedur operasi standard (SOP) sepanjang murid-murid berada di sekolah.

Walaupun Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) hanya dilaksanakan di 36 kawasan di mukim Klang, namun masyarakat tidak boleh mengambil mudah soal ini.

Lebih mendukacitakan pada saat negara masih berperang dengan wabak ini, ada pihak yang sengaja menangguk di air keruh dengan mempolitikkan masalah dihadapi negara. Usah buang masa kerana ia langsung tidak bermanfaat.

Cukup-cukuplah berpolitik! Memang benar kempen Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah menjadi antara punca penularan wabak, malah ia diakui ‘Abah Muhyiddin’ sendiri tetapi proses itu tidak boleh ditangguhkan kerana tuntutan Perlembagaan.

Merebak

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) sudah menetapkan SOP bagi memastikan wabak tidak merebak pada kempen PRN, malangnya ada SOP tidak dipatuhi, misalnya penjarakkan fizikal dan ia membabitkan kedua-dua belah pihak, pemimpin kerajaan mahupun pembangkang.

Memang mudah meletakkan kesalahan kepada orang lain, lebih-lebih lagi pemimpin politik yang tidak sama ideologinya dengan kita, tetapi sekarang bukan masanya untuk menanam kebencian, sebaliknya bantu sebarkan mesej-mesej positif yang boleh merangsang semangat rakyat dalam melawan Covid-19.

Tidak salah kalau tidak bersetuju, malah boleh berdebat sampai bila-bila pun mencari siapa yang salah dan siapa yang betul, namun apa yang diperlukan sekarang adalah kita bersatu hati dalam usaha mengatasi ancaman ini.

Kini bukan masanya menuding jari. Ayuhlah kita semua bersama-sama memerangi Covid-19. Semua rakyat tanpa mengira usia, latar belakang, pangkat dan darjat harus sentiasa berwaspada, patuhi SOP dan garis panduan yang ditetapkan.

Ayuh semua bersoladiriti. Selamatkan Malaysia daripada malapetaka Covid-19 ini!