13 Oktober penentu politik Anwar

Anwar Ibrahim
Anwar Ibrahim
A
A
A

RAMAI yang menanti penuh debaran adakah Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim akan dapat merealisasikan cita-citanya menjadi Perdana Menteri esok.

Ketua Pembangkang itu akan menghadap Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah di Istana Negara untuk mempersembahkan butiran bahawa beliau mempunyai sokongan majoriti di Dewan Rakyat.

Pada 23 September lalu, Anwar pada satu sidang akhbar di Kuala Lumpur mendakwa beliau mempunyai sokongan yang ‘kukuh dan meyakinkan’ untuk menubuhkan kerajaan Persekutuan dan mempunyai ‘dokumen tetap yang tidak boleh diragui’ bagi membuktikannya.

Kenyataan Anwar itu bukan sahaja memberi satu kejutan bahkan turut menyebabkan rakyat terpinga-pinga apatah lagi negara ketika ini sedang dilanda gelombang ketiga pandemik Covid-19.

Bagaimanapun, Pas menegaskan semua 18 ahli Parlimen parti itu menyokong penuh Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai Perdana Menteri yang memimpin kerajaan Perikatan Nasional sekarang.

Beberapa ahli Parlimen daripada UMNO yang dikatakan menyokong Anwar juga sudah menafikan pembabitan mereka.

Bekas Perdana Menteri, Tun Mahathir Mohamad turut menyatakan keraguannya terhadap langkah terbaru Anwar itu.

Justeru, ada yang mendakwa ia sekadar gimik Anwar dan tidak kurang yang mendakwanya berbohong selagi Ahli Parlimen Port Dickson itu tidak mengemukakan sebarang akuan bersumpah (SD) ahli Parlimen yang menyokong beliau.

Ada pula tidak yakin memandangkan itu bukan kali pertama beliau membuat dakwaan sedemikian. Barangkali ramai yang masih tidak lupa dengan tarikh 16 September 2008.

Artikel Berkaitan:

Ketika itu Anwar dengan penuh yakin dapat menubuhkan kerajaan Pakatan Rakyat (PR) di peringkat Persekutuan dengan menarik sekumpulan Ahli Parlimen Barisan Nasional.

PR ketika itu mempunyai 82 daripada 222 kerusi di Dewan Rakyat. Bagaimanapun, rancangan Anwar gagal.

Ketika ini, tiada sebuah parti politik utama mempunyai majoriti kukuh untuk membentuk kerajaan di Malaysia.

Jika Anwar berjaya membuktikan sokongan yang diterimanya, beliau akhirnya akan menamatkan gelaran ‘bakal Perdana Menteri’ dan ‘PM tepi’ yang disandangnya sejak sekian lama.