Gelombang kedua lebih bahaya

No Image Caption
A
A
A

GELOMBANG kedua Covid-19 kini terus melanda seluruh dunia termasuk Malaysia. Pengalaman Wuhan di China dan Korea Selatan membuktikan bahawa gelombang kedua penyakit ini lebih mendadak dan berbahaya. Semuanya kerana masyarakat mulai leka dan tidak mematuhi prosedur operasi standard (SOP). Ramai yang meremehkan arahan kerajaan sebagai langkah pencegahan.

Walaupun kita mula menyesuaikan normal baharu agar lebih serasi, namun ramai yang mula mengamalkan cara lama. Masih suka bersesak, tidak lagi mengamalkan jarak fizikal dan juga tidak memakai pelitup muka atau membasuh tangan.

Lebih malang lagi ramai juga pemimpin dan orang ternama yang tidak menunjuk contoh sebagai ikon masyarakat. Segelintirnya tidak melakukan saringan atau kuarantin diri sepenuhnya walaupun diarahkan berbuat demikian.Pihak Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) terus mengingatkan kita agar mematuhi SOP dari masa ke masa. Kita sebenarnya belum menang berhadapan Covid-19. Tiada kompromi, perlu patuhi.

Rata-rata yang ditanya kalau boleh tidak mahu menjalani semula Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) seperti mula Covid-19 menyerang. Namun jika keadaan mendesak, pihak pemerintah perlu melakukan lockdown semula jika kes baharu terus meningkat dan mencemaskan.

Langkah pencegahan terbaik adalah setiap individu mengamalkan SOP pada bil- bila masa dan di mana jua, bukannya bermusim atau ‘takut’ dengan pihak berkuasa. Walaupun pihak kerajaan telah memberi kelonggaran demi memulihkan ekonomi dan sektor lain, ini bukan bermakna kita bebas melakukan apa sahaja tanpa batasan dan melanggar SOP.

Kelekaan dan melupakan kehidupan normal baharu mengundang padah. Rahsia Malaysia dapat mengekang Covid-19 beberapa bulan lalu kerana rakyat mematuhi SOP yang ditetapkan. Kenapa pada akhir-akhir ini pula kita melupakannya?

Keputusan kerajaan tidak melaksanakan PKP walaupun angka kes Covid-19 melonjak tinggi ketika ini dianggap satu langkah tepat. Pihak berkuasa mendapati kes ketika ini masih localised atau penularan tempatan. Jika pihak berkuasa dapat membedung penyakit ini dengan betul Covid-19 boleh kawal.

Bukan bertujuan menuding jari kepada mana-mana pihak, namun semua pihak bertanggungjawab dalam mematuhi semua arahan dan SOP demi menjaga diri sendiri, keluarga, masyarakat dan negara. Tidak terkecuali walau siapa pun anda.

Artikel Berkaitan:

Fokus sekarang semestinya bagaimana untuk memastikan keselamatan dan menghindari penyakit yang berbahaya ini daripada terus menyerang kembali. Ini bukan masa untuk ‘berpolitik’ atau untuk terus menayangkan ‘drama pentadbiran’.

Keadaan ini juga menjelaskan bahawa Malaysia tidak perlu mengadakan apa-apa pilihan raya negeri atau umum dalam masa terdekat. Beberapa negara contohnya New Zealand, menangguhkan pilihan raya umum negara berkenaan untuk lebih memfokuskan pengurusan Covid-19.

Malaysia seharusnya belajar daripada pengalaman mengendalikan Pilihan Raya Negeri Sabah. Kebetulannya disebabkan segelintir mereka yang baharu pulang dari Sabah melanggar SOP dan tidak melaksanakan kuarantin sendiri di rumah menyebabkan Covid-19 terus merebak.

Adegan sebegini sebenarnya ‘memeningkan’ pentadbiran dan pihak berkuasa yang sedang berhadapan dengan pelbagai ragam dalam menangani Covid-19. Seharusnya semua pihak tanpa mengira apa fahaman dan pegangan bersama-sama ke arah mengatur perancangan bagi mengatasi Covid-19.

* Profesor Datuk Dr Ismail Sualman ialah Pengarah Pusat Pengajian Perangsaraf Media dan Informasi, Fakulti Komunikasi dan Pengajian Media Universiti Teknologi Mara