Polemik demokrasi PRK Batu Sapi

1
1
A
A
A

KERUSI Parlimen Batu Sapi bukan sesuatu yang asing dalam sejarah pilihan raya negara. Kerusi yang diwujudkan pada 2003 ekoran persempadanan semula bahagian pilihan raya merupakan antara kerusi yang pernah menyaksikan pilihan raya kecil lebih daripada sekali.

Dalam pilihan raya kecil 4 November 2010, calon Barisan Nasional (BN), Datin Linda Tsen mempertahankan kerusi yang dimenangi suaminya. Kerusi Parlimen Batu Sapi terletak di sebelah timur Sabah dengan diapit oleh kerusi Sandakan, Kinabatangan dan Libaran. Jirannya Sandakan telah melalui pilihan raya kecil Parlimen pada awal tahun lalu.

Seminggu selepas Pilihan Raya Negeri (PRN) pada 26 September lalu, Sabah sekali lagi dikejutkan dengan kekosongan kerusi ekoran kematian penyandangnya, Datuk Liew Vui Keong daripada Parti Warisan Sabah.

Semasa pilihan raya kecil 10 tahun lalu, tiada sebarang isu agar Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menangguhkan pilihan raya. Keadaan berbeza pada hari ini. Banyak pihak mengesyorkan pilihan raya kecil tidak dilangsungkan ketika negara berhadapan dengan krisis kesihatan, mengambil pengajaran senario buruk semasa PRN Sabah.

Malah terdapat pandangan agar apa juga pilihan raya yang hendak diadakan dalam waktu terdekat ditangguhkan sehingga Covid-19 ditangani sepenuhnya.

Mengikut peruntukan Perlembagaan Persekutuan, SPR perlu mengadakan pilihan raya untuk mengisi kekosongan yang wujud dalam tempoh 60 hari.

Kekosongan kerusi Batu Sapi wujud lapan bulan sebelum peruntukan tidak perlu ada pilihan raya kecil jika berlaku kekosongan dalam tempoh dua tahun sebelum mandat semasa kerajaan berakhir.

Fasal 1 Perkara 54 Perlembagaan Persekutuan berbunyi, Kecuali sebagaimana yang diperuntukkan di bawah Fasal (3) (keputusan mengenai kehilangan kelayakan), apabila terdapat sesuatu kekosongan dalam kalangan ahli Dewan Negara atau sesuatu kekosongan luar jangka dalam kalangan ahli Dewan Rakyat, maka kekosongan atau kekosongan luar jangka itu hendaklah diisi dalam tempoh 60 hari dari tarikh dipastikan oleh Yang Dipertua Dewan Negara bahawa ada kekosongan atau oleh SPR bahawa ada kekosongan luar jangka, mengikut mana-mana yang berkenaan, dan suatu pilihan raya hendaklah diadakan atau suatu pelantikan hendaklah dibuat dengan sewajarnya.”

Artikel Berkaitan:

Luar jangka

Fasal yang sama juga berbunyi, “Jika kekosongan luar jangka di Dewan Rakyat dipastikan pada suatu tarikh dalam masa dua tahun dari tarikh Parlimen akan terbubar mengikut Fasal (3) Perkara 55, maka kekosongan luar jangka itu tidak boleh diisi melainkan jika Yang Dipertua Dewan Rakyat memberitahu SPR secara bertulis bahawa kekuatan dari segi bilangan parti yang membentuk majoriti semua ahli Dewan Rakyat terjejas oleh kekosongan itu, dan dalam keadaan sedemikian kekosongan itu hendaklah diisi dalam masa 60 hari dari tarikh pemberitahuan itu diterima.”

Sebenarnya kita berada dalam dua senario yang memerlukan keputusan penting dibuat mengenai keperluan pilihan raya kecil. Pertimbangan antara krisis Covid-19 dan memastikan kestabilan keanggotaan di Parlimen pada masa sekarang sekali gus mengelakkan sebarang kemungkinan krisis politik.

SPR yang akan mengadakan mesyuarat khas pada 13 Oktober bagi membincangkan tarikh pilihan raya kecil terikat kepada tiga akta, tiga peraturan serta Perlembagaan Persekutuan dan Negeri dalam menguruskan pilihan raya.

Dalam keadaan tertentu SPR pernah menangguhkan proses pengundian. SPR menangguhkan proses pengundian di Sabah dan Sarawak ekoran pengisytiharan darurat pada 15 Mei 1969 dan diadakan semula pertengahan tahun berikutnya.

Ketika PRU 1969 proses pengundian di kedua-dua negeri itu dijadual berlangsung selama empat minggu disebabkan kekurangan sistem pengangkutan dan ancaman komunis.

2
2

SPR pernah menangguhkan proses pengundian bagi kerusi DUN Gemencheh apabila calon BN daripada UMNO, Datuk Mohammad Taha Taib ditembak mati lapan hari sebelum PRU 1982.

SPR juga pernah menangguhkan proses pengundian kerusi DUN di Sungai Lembing, Pahang pada 2004 ekoran masalah teknikal percetakan pada kertas undi.Ekoran wabak Covid-19, hampir 80 negara di dunia telah menangguhkan pelbagai jenis pilihan raya – pilihan raya umum, pilihan raya kecil, pilihan raya kerajaan tempatan dan referendum.

Ogos lalu, Perdana Menteri New Zealand, Jacinda Ardern memutuskan untuk menangguhkan PRU selama sebulan bagi mengelakkan keadaan buruk akibat Covid-19. Pilihan raya yang sepatutnya berlangsung pada 19 September ditunda sehingga 17 Oktober ini.Terikat

Undang-undang tidak menyediakan peruntukan khusus kepada SPR untuk menangguh atau membatalkan keperluan mengadakan pilihan raya dalam keadaan negara berhadapan dengan wabak dan bencana. Hanya pengisytiharan darurat membawa kepada tindakan menunda proses pengundian semasa PRU 1969.

Dalam keadaan terikat ini, SPR memerlukan punca kuasa untuk membolehkan pengurusan pilihan raya ditangguh atau ditunda.

Pilihan raya kecil tidak perlu dibatalkan sama sekali kerana ia bertentangan dengan semangat demokrasi tetapi ia boleh ditangguh sementara impak Covid-19 kembali terkawal.

PRN Sabah telah membekalkan pengajaran bernilai. BN ialah parti pertama yang mengambil keputusan untuk tidak menyertai pilihan raya kecil Batu Sapi atas alasan mahu mengelak penularan Covid-19.

BN juga sebahagian daripada Gabungan Rakyat Sabah (GBS) yang pembentukannya diumumkan sehari sebelum hari penamaan PRN Sabah.

Dua lagi anggota ialah Perikatan Nasional dan Parti Bersatu Sabah. Turut mengumumkan pendirian sama ialah Parti Cinta Sabah.

Keputusan parti-parti utama tidak bertanding dalam pilihan raya kecil seperti diumum BN itu bukan kali pertama.

PKR memutuskan untuk tidak bertanding dalam pilihan raya kecil DUN Chini juga atas alasan kerisauan terhadap aspek keselamatan pengundi berikutan Covid-19.

BN tidak bertanding dalam pilihan raya kecil Parlimen Port Dickson pada 13 Oktober 2018, yang diadakan lima bulan selepas pilihan raya umum, dan juga kerusi DUN Balakong dan Seri Setia, Selangor.

Mesyuarat Khas Menteri telah memutuskan untuk menguatkuasakan kawalan rentas daerah di seluruh Sabah mulai 3 hingga 16 Oktober. Langkah ini bertujuan mengehadkan pergerakan dan mengawal jangkitan.

Pihak berkuasa mempunyai autoriti menentukan parameter kerangka perundangan, yang boleh menyediakan kuasa khas bagi tindakan susulan SPR – iaitu menangguhkan pilihan raya supaya badan itu tidak dicabar oleh mana-mana pihak kelak.

Melihat pada situasi semasa, pastinya semua pihak akan menerima keputusan SPR demi kebaikan bersama.

Menyediakan SPR punca kuasa untuk menangguhkan pilihan raya buat sementara waktu ada baiknya. Nilai nyawa rakyat Malaysia perlu diutamakan.

No Image Caption