UPKO pernah bekerjasama dengan parti dari Semenanjung

Christoper Mandut
Christoper Mandut
A
A
A

KOTA KINABALU - Parti Bersatu Sabah (PBS) mengingatkan Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (UPKO) bahawa mereka juga bekerjasama dengan parti dari Semenanjung dalam kerajaan terdahulu.

Ketua Pemudanya, Christoper Mandut berkata, malah DAP dan Parti Keadilan Rakyat (PKR) sebelum ini juga pernah bekerjasama dengan Pas selama dua dekad.

Sehubungan itu, Christoper meminta supaya UPKO melihat parti mereka dahulu sebelum mempersoalkan pendirian PBS berhubung pelantikan Setiausaha Pas Sabah, Dr Aliakbar Gulasan sebagai Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) dilantik.

Menurutnya, UPKO sebenarnya telah banyak kali mengecewakan rakyat Sabah sejak meninggalkan Barisan Nasional (BN) untuk membentuk kerajaan bersama Parti Warisan Sabah (Warisan) dua tahun lalu.

"Sebenarnya, UPKO ketinggalan di belakang dalam mempertahankan semua isu mendesak termasuk hal berkaitan agama, pendatang asing tanpa izin (PATI) dan tuntutan Filipina ke atas Sabah.

"Mereka telah mensia-siakan peluang yang ada sepanjang dua tahun berada di posisi kerajaan dan sepanjang tempoh itu, UPKO juga menyokong cadangan pelaksanaan Pas Sementara Sabah (PSS) yang sebenarnya merugikan Sabah dalam jangka masa panjang," katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Beliau menjawab kenyataan Ketua Pemuda UPKO, Felix Joseph Saang baru-baru ini yang mempersoalkan pendirian PBS berhubung pelantikan Aliakbar.

Beliau berkata, Malaysia mempunyai undang-undang yang menentang ekstremisme agama dan sebagai pejuang kepada kebebasan beragama, PBS akan memantau Pas.

Artikel Berkaitan:

"PBS memantau untuk semak dan imbang dalam memastikan kebimbangan rakyat Sabah terutama mengenai pelantikan Aliakbar sebagai ADUN dilantik tidak terabai.

"PBS, melalui Presidennya, Datuk Seri Dr Maximus Ongkili telah menyatakan pandangan parti sebelum pelantikan beliau (Aliakbar), namun kini beliau sudah dilantik, tugasan seterusnya ialah untuk bekerjasama dengan aman demi kemakmuran rakyat Sabah.

"Namun PBS tidak akan bersekongkol dengan mana-mana pihak yang cuba menimbulkan konflik dan perpecahan dalam kalangan rakyat Sabah dan kami telah menyatakan pandangan kami. Patuhilah undang-undang," tegasnya.