Guru rugi RM791,000 hampir setahun diperdaya Macau Scam

PDRM
PDRM
A
A
A

KUALA TERENGGANU - Seorang guru menanggung kerugian sebanyak RM791,000 dipercayai menjadi mangsa sindiket penipuan Macau Scam sejak akhir tahun lalu.

Mangsa berusia 51 tahun itu menyedari dia ditipu apabila akaun bank miliknya hanya berbaki RM208 sebelum membuat laporan di Balai Polis Kuala Terengganu, petang semalam.

Kerugian ditangung melibatkan simpanan Amanah Saham Bumiputera (ASB) 1 dan ASB serta dua pembiayaan peribadi dan akaun simpanan milik mangsa yang berasal dari Kampung Wakaf Tengah, Kuala Nerus.

Menurut sumber, guru lelaki terbabit menerima panggilan daripada wanita tidak dikenali pada 21 Disember tahun lalu mengatakan dia masih mempunyai pinjaman tertunggak RM50,000 sebelum talian disambung kononnya ke Balai Polis Seri Kembangan, Selangor.

Selain itu, seorang lagi individu yang memperkenalkan dirinya kononnya sebagai Sarjan Fakrul pula mendakwa mangsa terlibat dalam aktiviti pengubahan wang haram berjumlah RM2.3 juta.

Mangsa kemudiannya mengikut arahan suspek untuk menyewa bilik di sebuah resort di Kuala Nerus kononnya bagi memudahkan proses soal siasat.

Sepanjang berada di bilik resort itu, guru tersebut perlu melaporkan diri kepada suspek yang kononnya seorang pegawai Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Bukit Aman bernama Chong menerusi aplikasi WhatsApp sebanyak empat kali sehari selain dihubungi suspek setiap malam.

Lelaki itu kemudiannya mengikut arahan membuka akaun baharu di sebuah bank sebelum memindahkan RM400,000 simpanan ASB miliknya kononnya untuk siasatan Bank Negara pada 5 Januari lalu.

Artikel Berkaitan:

Dia juga telah membuat pembiayaan peribadi sebanyak RM378,000 di dua bank bagi membayar ikat jamin dan modal keupayaan kewangan kononnya arahan sebuah mahkamah di Sabah.

Katanya, guru tersebut mengikut arahan memasukkan RM348,000 ke akaun baharu dibuatnya pada 5 Januari lalu.

Suspek seterusnya mengarahkan mangsa untuk membayar ikat jaminan tambahan sebanyak RM48,000 kononnya disebabkan perubahan kerajaan pada akhir Februari lalu dan memberi masa lima bulan untuk menjelaskannya.

Lelaki berkenaan yang risau dan menurut kemahuan suspek dengan memasukkan RM43,000 ke dalam akaun bank menggunakan baki simpanan ASB dan gajinya pada 30 Jun lalu.

Suspek yang mengenalkan diri sebagai Chong mendakwa kes tersebut bakal selesai dan bungkusan kurier mengandungi surat mahkamah dan pembatalan pinjaman bank yang akan dihantar kepada mangsa pada 20 Ogos lalu.

Mangsa hanya menyedari tertipu apabila masih tidak menerima bungkusan itu sehingga kelmarin manakala baki akaun bank baharunya hanya tinggal RM208.

Sementara itu, Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Terengganu, Superintendan M Zambri Mahmud ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan kes itu.

Beliau berkata, kes itu melibatkan jumlah kerugian terbesar yang dilaporkan berlaku di Terengganu tahun ini dan disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan.