Covid-19: Sabah agih 5,134 bakul makanan ke daerah terlibat PKPB

Masidi Manjun
Masidi Manjun
A
A
A

KOTA KINABALU - Sebanyak 5,134 bakul makanan diagihkan kepada penduduk di daerah yang terlibat dengan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) di Sabah.

Menteri Kewangan II Sabah, Datuk Seri Masidi Manjun berkata, kerajaan negeri mula mengagihkan bakul makanan itu sejak Jumaat lalu dan agihan giat dilakukan mengikut daerah yang terjejas.

"Agihan bakul makanan dilakukan di Lahad Datu iaitu sebanyak 1,150 set, Semporna (2,431 set), Kunak (553 set) dan di Tawau sebanyak 1,000 set bakul.

"Manakala, di Kota Kinabalu, Putatan, Penampang, Sandakan, Tuaran dan Papar, peruntukan telah disalurkan semalam dan agihan bakul makanan dijangka dimulakan esok," katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Beliau yang juga Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Sabah berkata, kerajaan negeri turut menerima bantuan sebanyak 6,300 bakul makanan dari kerajaan Persekutuan semalam.

"Bantuan itu adalah untuk penduduk terjejas di di Kunak, Semporna dan Tawau masing-masing 1,000 bakul makanan manakala di Lahad Datu dan Sandakan masing-masing menerima 1,500 bakul makanan dan 300 set di Kota Kinabalu.

"Bantuan itu diselaraskan di bawah Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dan pengagihan dilaksanakan oleh Jabatan Perkhidmatan Kebajikan Am Sabah," katanya.

Masidi turut menjelaskan, keutamaan agihan bantuan bakul makanan adalah untuk dua kategori iaitu penduduk yang terjejas di kawasan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat Diperketatkan (PKPBD) iaitu perkampungan yang 'lockdown' dan keluarga yang tidak boleh keluar rumah atas arahan perintah kuarantin rumah.

Artikel Berkaitan:

Terdahulu, Masidi berkata, dalam usaha memastikan dan menyokong perkhidmatan perlu (essential services) berjalan lancar di daerah yang sedang dilaksanakan (PKPB), kerajaan negeri melalui kementeriannya telah memberi kebenaran beberapa premis untuk beroperasi.

"Ia termasuk sebanyak 21 buah bengkel kenderaan, 17 bengkel motosikal, 25 kedai perkakasan dan 23 kedai perkakasan elektrik.

"Manakala di kawasan Kota Kinabalu, sebanyak enam bengkel kenderaan, lima bengkel motosikal, enam kedai perkakasan dan tiga kedai perkakasan elektrik dibenar untuk beroperasi sepanjang tempoh PKPB dan bilangan itu akan ditambah sekiranya ada keperluan mendesak," katanya.