Covid-19: Sistem kesihatan awam Sabah berfungsi seperti biasa

Dr Noor Hisham Abdullah
Dr Noor Hisham Abdullah
A
A
A

KUALA LUMPUR - Sistem penjagaan kesihatan awam dan perubatan di negeri Sabah masih berfungsi seperti biasa walaupun terdapat kekangan akibat kes Covid-19 yang tinggi di negeri itu, tegas Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah.

Ia sekali gus menafikan sistem penjagaan kesihatan awam dan perubatan di negeri itu lumpuh seperti didakwa sebuah portal baru-baru ini.

Memperincikan perkara itu, beliau berkata, pada masa ini, sebanyak tujuh hospital telah disediakan untuk merawat pesakit Covid-19 pada tahap tiga, empat dan lima manakala kapasiti 4,822 katil disediakan berbanding 2,566 katil sebelum ini.

"Ia termasuk 66 katil ICU (unit rawatan rapi) dan peruntukan 170 alat bantuan pernafasan, pengisian katil setakat ini ialah 66 peratus," katanya pada sidang akhbar secara maya yang disiarkan melalui Facebook Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) di sini hari ini.

Dr Noor Hisham berkata, KKM juga telah mengenal pasti enam lagi pusat kuarantin dan rawatan risiko rendah bagi merawat kes Covid-19 pada tahap satu dan dua menjadikan kesemua pusat rawatan tersebut sebanyak 16 buah.

Sementara itu, mengulas mengenai kemudahan perubatan, Dr Noor Hisham berkata, pada ketika ini keperluan peralatan pelindungan diri (PPE) bagi merawat kes Covid-19 di Sabah mencukupi untuk 50 hari.

"Kita akan pantau keperluan PPE dan akan menambah dari masa ke masa," katanya.

Artikel Berkaitan:

Mengulas lanjut mengenai anggota kesihatan yang telah digerakkan ke negeri Sabah, beliau berkata, sehingga kini seramai 483 anggota kesihatan telah dihantar merangkumi pelbagai kategori bagi membantu mengendali situasi Covid-19.

Katanya, KKM juga mengalu-alukan sukarelawan ke negeri Sabah bagi membantu keperluan di lapangan dan tidak menetapkan jumlah sukarelawan untuk ke sana.

Menyentuh mengenai kapasiti makmal ujian, Dr Noor Hisham berkata, setakat ini terdapat tiga makmal ujian yang boleh melakukan sebanyak 2,500 ujian sehari selain beberapa makmal di Semenanjung yang mengendalikan sampel yang diterbangkan oleh Angkatan Tentera Malaysia (ATM) setiap hari. -Bernama