Lima lagi kluster baharu dikesan hari ini

Dr Noor Hisham Abdullah
Dr Noor Hisham Abdullah
A
A
A

KUALA LUMPUR - Lima lagi kluster baharu Covid-19 dikesan di negara ini, iaitu tiga di Sabah manakala masing-masing satu kluster di Wilayah Persekutuan Labuan dan Selangor.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, tiga kluster baharu di Sabah ialah Kluster Kasih, Kluster Surat dan Kluster Khazanah, manakala di Labuan ialah Kluster Bah Bundle dan di Selangor Kluster Sungei Way.

Beliau berkata, Kluster Kasih dikenal pasti di daerah Lahad Datu, apabila kes indeks ke-12,509 didapati positif hasil saringan petugas kesihatan pada 27 September dan dimasukkan ke Hospital Lahad Datu untuk rawatan.

“Saringan kontak rapat telah mengenal pasti 33 lagi kes positif, manakala 1,804 individu masih menunggu keputusan,” katanya pada sidang akhbar secara maya yang disiarkan di Facebook Kementerian Kesihatan (KKM) hari ini.

Bagi Kluster Surat di Sandakan, Dr Noor Hisham berkata, ia membabitkan kes indeks ke-15,097, yang dikenal pasti positif hasil saringan individu bergejala dan telah dimasukkan ke Hospital Lahad Datu untuk rawatan, dan saringan kontak rapat telah mengesan 24 lagi kes positif manakala 49 individu lagi masih menunggu keputusan.

Mengenai Kluster Khazanah juga di Lahad Datu, Dr Noor Hisham berkata, kes indeks ke-14,842 dikenal pasti positif hasil saringan kontak rapat pada 9 Oktober dan dimasukkan ke Hospital Lahad Datu.

“Saringan kontak rapat telah mengesan 13 lagi kes positif dan sehingga kini terdapat 638 individu lagi masih menunggu keputusan,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Memperincikan mengenai Kluster Sungei Way melibatkan Petaling dan Gombak di Selangor, serta Titiwangsa di Kuala Lumpur, Dr Noor Hisham berkata, kes indeks ke-14,307 dikenal pasti positif hasil saringan individu bergejala pada 7 Oktober dan dimasukkan ke Hospital Sungai Buloh.

“Susulan saringan kontak rapat telah mengenal pasti 17 lagi kes positif dan tujuh individu lagi masih menunggu keputusan,” katanya.

Dr Noor Hisham berkata, bagi Kluster Bah Bundle di Wilayah Persekutuan Labuan, ia melibatkan kes indeks ke-11,771, yang dikenal pasti positif hasil saringan pulang dari kawasan berisiko tinggi Sabah pada 2 Oktober dan dimasukkan ke Hospital Labuan, Wilayah Persekutuan Labuan.

“Berikutan itu, saringan kontak rapat telah mengenal pasti dua lagi kes positif dan 296 individu masih menunggu keputusan,” katanya.

Beliau berkata, kluster lain yang mencatatkan pertambahan kes ialah Kluster Benteng LD (17 kes); Kluster Tembok (16); Kluster Tujuh Serangkai (lapan); Kluster Tanamera (lapan); Kluster Utama (lima); Kluster Jalan Meru (dua); manakala Kluster Ramai-Ramai, Kluster Highway dan Penjara Reman masing-masing merekodkan satu kes. - Bernama