PKPD dilaksana Taman Khazanah Indah, PPR Mutiara Kasih

 Ismail Sabri Yaakob
Ismail Sabri Yaakob
A
A
A

KUALA LUMPUR - Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) bakal berkuat kuasa di Taman Khazanah Indah dan PPR Mutiara Kasih, Lahad Datu, bermula 12.01 tengah malam 13 Oktober hingga 26 Oktober.

Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, PKPD ini melibatkan 5,452 penduduk di kawasan itu dan Kementerian Kesihatan (KKM) akan melakukan saringan bersasar, terhadap penduduk di kawasan terlibat.

“Dengan pelaksanaan PKPD ini, semua penduduk dikehendaki mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan. Antaranya, semua penduduk di kawasan terlibat tidak dibenarkan keluar dari rumah masing-masing.

“Oleh kerana mereka tidak dibenarkan keluar dari rumah masing-masing, bermakna tidak boleh membeli makanan dan sebagainya, bekalan keperluan makanan akan diagihkan kerajaan negeri Sabah yang dikoordinasikan Pusat Kawalan Operasi Bencana Negeri,” katanya pada sidang media secara maya dari kediamannya, menerusi Facebook Kementerian Pertahanan hari ini.

Beliau berkata, semua laluan keluar dan masuk kawasan PKPD itu ditutup, namun permohonan bagi kes kecemasan seperti kematian dan sebagainya boleh dikemukakan kepada Polis Diraja Malaysia (PDRM).

Beliau berkata, bagi memastikan pematuhan perintah itu, PDRM, Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM), Jabatan Sukarelawan Malaysia (Rela), pihak berkuasa tempatan dan pegawai yang diberi kuasa, akan mengawal seluruh kawasan terlibat.

Sementara itu, Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) akan dilaksanakan di Kota Belud bermula jam 12.01 tengah malam 13 Oktober hingga 26 Oktober.

Ismail Sabri berkata, langkah itu bertujuan mengekang penularan jangkitan Covid-19 di daerah itu, serta membolehkan aktiviti saringan secara bersasar dilaksanakan sepanjang tempoh itu.

Artikel Berkaitan:

“Hanya perkhidmatan perlu termasuk kilang-kilang dan rantaian berkaitan dalam perkhidmatan perlu dibenarkan.

“Penduduk juga dibenarkan untuk keluar beli barangan iaitu dua orang daripada satu keluarga atau satu rumah,” katanya.

Menurutnya, operasi pasar borong, pasar malam, pasar tani, kedai runcit, farmasi dan klinik dibenarkan, manakala bagi kedai makan pula terhad kepada pandu lalu, penghantaran dan bawa pulang.

Selain sektor berkaitan perkhidmatan perlu, pekerjaan lain seperti perikanan, pertanian, perladangan turut dibenarkan.

Mengenai sambutan perayaan Deepavali, Ismail Sabri berkata, Mesyuarat Khas Menteri-Menteri Berkenaan Pelaksanaan PKPP akan memutuskan perkara itu dalam masa terdekat.

Selain itu, Ismail Sabri berkata seramai 674 individu ditahan hasil operasi pasukan petugas semalam atas kesalahan ingkar arahan Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP).

Beliau berkata, antara kesalahan itu ialah aktiviti di pusat hiburan (325), tidak memakai pelitup muka (170), gagal menyediakan peralatan/merekod butiran diri (80), penjarakan fizikal (53) dan tangkapan pendatang tanpa izin (22).

Kesalahan lain ialah melanggar syarat PKPP (membawa penumpang lebih dua orang) (tujuh), menyalahguna pas sosial (tujuh), premis beroperasi lebih masa (empat), pelanggaran SOP di kawasan PKPD (empat), dan premis beroperasi tanpa lesen sah (dua).

Ops Benteng pula menahan 80 pendatang tanpa izin, merampas sebuah bot dan sebuah kenderaan. - Bernama