X

Kindly register in order to view this article
!

Covid-19: KKM tambah fasiliti di Sabah

Dr Adham Baba
A
A

PUTRAJAYA - Kementerian Kesihatan (KKM) menambah hospital, pusat kuarantin dan katil dalam usaha memastikan persiapan di semua peringkat bagi memudahkan merawat pesakit Covid-19 di Sabah.

Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Adham Baba berkata, terbaru Hospital Marudu hospital dijadikan pusat merawat pesakit Covid-19 di negeri itu.

Menurutnya, KKM kini mempunyai tujuh hospital untuk merawat kes Covid-19 yang memerlukan penjagaan perubatan dan enam lagi Pusat Kuarantin dan Rawatan Covid-19 Berisiko Rendah (PKRC).

“Terdapat 4,834 katil disediakan untuk merawat pesakit Covid-19 di tujuh hospital Covid-19 dan 16 PKRC di Sabah.

"Secara keseluruhan 30 peratus katil sudah digunakan, manakala kes yang tidak bergejala atau gejala ringan akan ditempatkan di PKRC,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Katanya, dalam usaha meningkatkan bilangan katil rawatan Covid-19 di fasiliti, KKM akan menjalankan penyumberluaran perkhidmatan kepada hospital swasta di Sabah.

“Penyumbeluaran dilaksanakan ke beberapa hospital swasta di Sabah seperti Gleneagles Hospital Kota Kinabalu, KPJ Sabah Specialist Hospital, Jesselton Medical Centre dan sebagainya.

"Bagi langkah kesiapsiagaan hospital di pantai timur Sabah, pihaknya turut menjalin kerjasama dengan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) untuk menyediakan hospital medan di Tawau membolehkan pesakit bukan Covid-19 dari Hospital Tawau terus mendapat rawatan," katanya.

Dr Adham berkata, hospital medan menyediakan perkhidmatan Obstetrik dan Ginekologi, Pediatrik dan Pembedahan Am.

“Langkah itu akan memberi lebih banyak ruang kepada Hospital Tawau untuk merawat kes Covid-19 kategori tiga hingga lima manakala kes bagi kategori satu dan dua pula akan terus ditempatkan PKRC.

"Perancangan awal adalah menempatkan 100 katil di hospital medan ini dan bagi menangani peningkatan beban makmal di Sabah, beberapa makmal di semenanjung turut mengendalikan ujian tersebut," katanya.

Menurutnya, sampel akan di hantar ke Semenanjung menerusi penerbangan ihsan ATM.

“Dari segi keperluan ventilator, Sabah mempunyai 180 unit peralatan itu dengan kadar penggunaan semasa sebanyak 38 peratus.

“Bilangan ventilator meningkat daripada 66 unit pada fasa awal kesiapsiagaan kepada 180 unit iaitu peningkatan sebanyak 63.0 peratus. KKM dalam proses penghantaran 14 unit ventilator tambahan untuk Sabah,” katanya.


Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!