Gesa kaji semula penggabungan UEM Sunrise, Eco World

Raja Kamarul Bahrin Shah Raja Ahmad
Raja Kamarul Bahrin Shah Raja Ahmad
A
A
A

SHAH ALAM - Bekas Timbalan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Raja Kamarul Bahrin Shah Raja Ahmad mendesak kerajaan mengkaji kewajaran cadangan penggabungan UEM Sunrise Berhad dan Eco World Development Group Bhd.

Raja Kamarul Bahrin Shah berkata, beliau senada dengan pendapat banyak pihak bahawa cadangan penggabungan UEM Sunrise Berhad dan Eco World Development Group Bhd akan merugikan UEM Sunrise dan Khazanah Nasional Berhad.

Menurutnya, banyak pihak juga menyatakan penggabungan itu dikatakan satu 'bail out' untuk menyelamatkan Eco World apabila keuntungan lebih berpihak kepada Eco World yang akan menguasai gabungan baharu itu.

"Kami mendesak kerajaan Perikatan Nasional dan Khazanah untuk mengkaji kewajaran rancangan ini diteruskan dan kenapa syarikat milik Khazanah perlu menyelamatkan Eco World," katanya dalam satu kenyataan kepada Sinar Harian.

Menurutnya, UMNO telah lama mendabik dada sebagai pejuang pembela hak Melayu yang tidak ada tolak bandingnya manakala Pas mendakwa sebagai sebuah parti Islam menjadi pembela hak kerajaan Melayu seperti UMNO.

Dalam masa sama, katanya, kerajaan PN juga mengisytiharkan diri sebagai kerajaan Melayu Islam.

Sehubungan itu, katanya, rakyat ingin melihat kerajaan ini memenuhi janji mereka untuk menjaga kepentingan syarikat kerajaan Malaysia dan kepentingan kerajaan Melayu Islam dalam isu ini.

Sementara itu, Ahli Parlimen Lembah Pantai, Fahmi Fadzil dalam kenyataannya hari ini turut menggesa kerajaan jangan terburu-buru berkenaan cadangan penggabungan UEM Sunrise dan Eco World.

Artikel Berkaitan:

Fahmi Fadzil
Fahmi Fadzil

Menurutnya, pada ketika rakyat menderita akibat gelombang ketiga koronavirus (Covid-19) dan ekonomi yang suram, tindakan meneruskan penggabungan dua syarikat ini memberi gambaran yang buruk.

"Ia akan dilihat sebagai usaha menyelamatkan (bail-out) sebuah syarikat swasta menggunakan harta rakyat.

"Setakat hari ini, nilai saham Eco World telah merudum ke RM0.39 berbanding RM1.40 lima tahun lalu. Keadaan hutang dan aliran tunai EcoWorld juga amat membimbangkan.

"Jika diteruskan, tidak mustahil Khazanah dilihat sebagai ‘penyelamat’ Eco World apabila terpaksa memberi suntikan dana yang besar, lebih-lebih lagi apabila kita diingatkan bahawa pasaran hartanah untuk beberapa tahun akan datang sudah pasti lemah," katanya.

Tambahan pula, katanya, beberapa penganalisa telah menyatakan jika diteruskan, pegangan saham Khazanah Nasional dalam UEM Sunrise akan berkurangan daripada 66 peratus kepada 43 peratus, dan kehilangan kawalan ini adalah satu bentuk kerugian kepada rakyat.

"Maka, dalam keadaan ekonomi yang belum pulih dan 745,000 warga Malaysia hilang kerja setakat Julai 2020, kerajaan melalui Khazanah Nasional tidak perlu terburu-buru dan wajib dipertimbangkan semula," katanya.

Terdahulu, UEM Sunrise Bhd mengumumkan Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutifnya, Anwar Syahrin Abdul Ajib telah menyerahkan notis peletakan jawatan kelmarin.

Dalam makluman kepada Bursa Malaysia, UEM Sunrise berkata, Anwar Syahrin meletakkan jawatan bagi meneroka peluang kerjaya lain.

Menurut UEM Sunrise, Lembaga Pengarah akan mempertimbangkan tarikh kuat kuasa peletakan jawatan Anwar Syahrin.

Peletakan jawatan Anwar Syahrin muncul tanpa diduga susulan cadangan penggabungan antara UEM Sunrise dengan Eco World Development Group Bhd.

Isnin lalu, UEM Group Bhd dalam kenyataan memberitahu sedang meneroka peluang untuk proses penggabungan UEM Sunrise dan Eco World sekali gus mewujudkan satu daripada syarikat pemaju hartanah terbesar Malaysia.

UEM Group telah pun menghantar surat pada 2 Oktober lalu kepada lembaga pengarah kedua-dua syarikat untuk mempertimbangkan potensi penggabungan UEM Sunrise dan Eco World.